Barcelona Diheret Ke Mahkamah Kerana Tidak Pecat Setien Secara Rasmi

Barcelona telah mengumumkan pemecatan Quique Setien pada 17 Ogos yang lalu. Namun demikian makluman tersebut tidak diserahkan kepada Setien secara rasmi sehinggalah pada 16 September yang lalu.

Demikianlah dakwaan Setien melalui satu kenyataan semalam yang turut menyatakan tindakan undang-undang turut akan diambil oleh beliau terhadap gergasi Catalan itu.

Setien turut mengeluarkan kenyataan tersebut bagi pihak keseluruhan pasukan kejurulatihannya di Nou Camp sebelum ini, iaitu Eder Sarabia, Jon Pascua, dan Fran Sato.

Ketiga-tiga jurulatih tersebut sebelum ini dikekalkan oleh Barcelona namun dengan peranan yang berlainan.

“Berikutan tindakan mendiamkan diri oleh pihak pengrusan Barcelona selama sebulan, dan selepas banyak permohonan oleh kami, maka akhirnya kami menerima komunikasi secara rasmi dari kelab semalam (Rabu) melalui faks,” ujar Setien dalam permulaan kenyataannya.

“Komunikasi ini diperlukan untuk mendedahkan niat sebenar pihak pengurusan yang gagal mematuhi perjanjian di dalam kontrak yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada 14 Januari 2020.

“Di dalam kes saya, kelab dan presiden secara terbuka dan kepada umum memberitakan pemecatan saya pada 17 Ogos lalu.

“Namun hanya semalam – iaitu hampir sebulan pada 16 September – mereka menghantar surat pemakluman rasmi mengenai pemecatan tersebut tanpa sebarang pampasan.

“Pada masa yang sama untuk jurulatih lain -pengumuman yang mengejutkan kami – mereka akan diberikan peranan berasingan di dalam kelab.

“Disebabkan perkara ini, maka kami memutuskan untuk menyerahkan kekusutan ini ke dalam tangan penguam yang akan mengusulkan tindakan perundangan.

“Semua ini dilakukan untuk mempertahankan hak kami dan apa yang telah dipersetujui dengan Barcelona sebelum ini.”

Sebenarnya agak aneh bagaimana Barcelona melantik Ronald Koeman selaku pengurus tatkala pemecatan Quique Setien secara rasmi.

Ini menjadikan Barcelona secara teknikal seolah-olah mempunyai dua nahkoda pada satu masa.

Menurut laporan dari Sepanyol, Barcelona masih tidak boleh menggunakan khidmat Koeman di dalam perlawanan dan pertandingan kompetitif selagi isu berkaitan Setien belum diselesaian.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.