“Barcelona Buang Saya Kerana Bersahabat Baik Dengan Messi” – Luis Suarez

Selepas membantu Uruguay menewaskan Chile, Luis Suarez berkongsi mengenai perpindahan beliau dari Barcelona.

Penyerang baharu Atletico Madrid itu kini berpendapat Barcelona tidak mahukan khidmatnya lagi kerana menjadi sahabat baik kepada Lionel Messi di Nou Camp.

“Koeman memberitahu saya tidak akan tinggalkan kelab dan saya berada di dalam perancangan beliau,” dedah Suarez kepada ESPN.

“Ia bukan kerana jurulatih. Ia adalah barisan pengarah yang mahu saya disingkirkan dari Barcelona. Ia seperti ancaman kepada mereka saya bersahabat baik dengan Messi.

“Sebelum ini mereka sering mengadu Messi sukar mempunyai hubungan baik dengan penyerang lain di kelab ini. Dan apabila semuanya baik, mereka singkirkan pula.”

“Ini adalah perkara yang mereka putuskan sendiri. 2 tahun lalu mereka juga mahu singkirkan saya dan membawa masuk penyerang baharu.

“Mereka tidak dapat berbuat demikian kerana saya bersaing di peringkat tertinggi. Saya patut lebih dihormati dan bukannya mengetahui diri tidak diperlukan daripada media.

“Mereka hanya pandai bercakap pasal duit dan mengenai saya menyertai kelab lain. Sepatutnya mereka menghubungi saya dan menjelaskan dengan baik mengapa saya harus pergi. Saya juga menyedari usia saya dan tidak mempunyai masalah untuk memahami kehendak sedemikian.”

Mengenai Ronald Koeman yang mahukan beliau kekal di Nou Camp, ini komen Suarez:

“Jika seorang jurulatih datang dan berkata anda tidak berada di dalam perancangan mereka, maka anda mungkin meragui sama ada ianya kehendak Koeman atau lembaga pengarah yang mahu beliau berkata demikian.

“Tetapi Koeman menghubungi saya untuk memaklumkan sendiri kepada saya, itu pun selepas 10 hari setelah mengetahui saya akan pergi (meninggalkan Barcelona).

“Dia berkata jika saya tidak dapat menemui kelab lain, maka beliau sudah mempunyai perancangan khas untuk saya.”

Suarez juga akhirnya berkongsi mengenai hubungan dirinya dengan Messi dan beliau berpendapat ia memberi kesan kepada perpindahan beliau ke Atletico Madrid.

“Ia sentiasa menganggu mereka saya rapat dengan beliau. Mungkin bukan itu sahaja. Saya tidak dapat menemui sebab lain mengapa mereka mahu memisahkan kami.

“Bukannya saya yang mempengaruhi Messi mengenai keputusannya. Jika Leo mahu kekal di Barcelona, beliau harus seronok untuk berbuat demikian, selain menampilkan aksi terbaik seperti yang biasa beliau tampilkan.

“Saya berpendapat layanan mereka terhadap saya lebih daripada untuk membuatkan saya berpindah kelab. Cara mereka itu yang tidak betul, tetapi saya secara peribadi tidak pernah ada masalah dengan kelab.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.