Jurulatih beregu Malaysia, Jeremy Gan sebelum ini menghantar surat perletakan jawatan beliau. BAM mengakui ia tindakan yang agak menggemparkan mereka.
Berita itu disahkan sendiri oleh Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. Jeremy menghantar notis perletakan jawatan 3 bulan kepada BAM.
Buat masa ini, pihak BAM masih belum tahu punca sebenar perletakan jawatan Jeremy Gan. Ketua jurulatih beregu, Cheah Soon Kit juga sudah dimaklumkan akan perkara itu.
BAM kini dalam proses untuk memperbaiki beberapa aspek dalam struktur pengurusan mereka selepas Morten Frost meletak jawatan beberapa minggu lalu.
Frost meletakkan jawatan sebagai Pengarah Teknikal atas rasa tanggungjawab kepada prestasi hambar skuad badminton negara sejak akhir-akhir ini.
Jeremy Gan menjadi tulang belakang kepada pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong ketika Sukan Olimpik yang lalu di mana beregu lelaki negara tersebut memenangi pingat perak.
BAM masih mencari pengganti untuk Jeremy Gan. Mereka mengutamakan anak tempatan Malaysia untuk mengisi jawatan tersebut.
Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga terbuka untuk melantik lebih ramai jurulatih jika Cheah Soon Kit memerlukannya.