Ashley Young Mahu Tinggalkan Lingard Dan Ole

Perkhabaran dari Itali menyatakan Ashley Young dilaporkan setuju menyertai Inter Milan pada perpindahan kali ini dengan kontrak 18 bulan.

Antonio Conte mahukan pemain veteran dan serba boleh Manchester United itu diserap ke dalam pasukannya.

Gianluca Di Marzio, bagaimanapun menyatakan Young dan Inter Milan masih menunggu pelepasan daripada Manchester United.

Ole sebelum ini pernah menyatakan pentingnya Young kepada pasukan mereka. Sebab itu pemain itu menjadi kapten United.

Perbincangan ini masih jauh daripada muktamad. Jika Manchester United memberikan lampu hijau, barulah Ashley Young boleh dijual.

Ed Woodward belum berbincang dengan Ole Gunnar Solskjaer tentang perkara ini.

Inter Milan menjadikan Ashley Young sebagai sasaran mereka kerana mahu mencari pemain yang boleh bermain di wingback.

Pemain berusia 34 tahun itu jelas sekali pilihan yang bagus dengan nilai perpindahan yang lebih rendah. Kontrak Young di Old Trafford akan berakhir pada musim ini.

Ini bermakna, Young masih ada enam bulan sahaja kontrak di Manchester United ketika ini.

Young tiada masalah dengan perpindahan tersebut kerana mahukan cabaran baharu di dalam kariernya.

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer buat masa ini enggan membincangkan soal pemain keluar.

Beliau jelas sekali tidak mudah mahu melepaskan ketua pasukan Manchester United itu. Kecuali ada dana untuk mendapatkan pemain baharu.

Inter Milan musim ini sudah mendapatkan Romelu Lukaku, dan Alexis Sanchez daripada Man United. Sanchez atas perjanjian pinjaman.

Ini bermakna, jika Young menyertai Inter Milan, beliau akan menjadi pemain ketiga dari United menyertai pasukan Inter Milan.

Young ditawarkan peluang bermain di Liga Juara-Juara Eropah. Ianya pakej yang agak menarik untuk pemain itu.

Ashley Young menjadi pemain yang paling lama bermain untuk Manchester United ketika ini. Beliau menyertai pasukan itu sejak 2011 di bawah Era Sir Alex Ferguson.

Ketika itu, Sir Alex membeli Ashley Young daripada Aston Villa.

Selain itu, Man United kini masih berusaha untuk meyakinkan bintang mereka, Jesse Lingard agar menandatangani kontrak baharu bersama mereka.

Lingard dilaporkan sudah melantik Mino Raiola untuk memastikan dia mendapat tawaran lebih baik ataupun pergi ke kelab lain.

Inter Milan kini berada dalam landasan persaingan kejuaraan Liga Serie A. Kehadiran pemain seperti Young dianggap penting untuk memastikan bahagian sayap mereka diisi pemain yang boleh melakukan hantaran lintang kepada penyerang utama.

Ramai juga penyokong Inter yang tidak setuju dengan pilihan Antonio Conte kali ini.

Namun Conte pernah membuktikan beliau mampu membangkitkan pemain yang beliau rasa sesuai dengan taktikalnya.

Antaranya Victor Moses ketika di Chelsea, dan juga Eder yang beliau panggil untuk mewakili Itali.

Adakah Conte akan melakukan perkara yang sama dengan Ashley Young?

Ole perlu membuat keputusan terbaik dalam hal ini, terutama sekali ketika pasukannya berhadapan dengan banyak krisis kecederaan.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter