Asal Usul Sukan Marathon

Sukan 2 tahun yang lalu

Secara umumnya, sukan marathon adalah sukan yang sangat popular di dunia. Marathon boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, agama, bangsa dan usia. Ya, usia. Bermula daripada anak-anak kecil sehingga warga emas aktif yang menyertainya.

Sukan ini mudah mendapat tempat di hati segenap masyarakat kerana pelaksanaannya mudah. Tidak memerlukan kos tinggi, peralatan diperlukan sedikit, tidak kompleks dan rendah risiko.

Hanya tubuh badan sihat, pakaian sukan bersesuaian dan serta latihan spesifik untuk menjaga dan meningkatkan stamina.

Mengapa dinamakan marathon? Mengapa tidak sahaja dinamakan ‘ suatu larian panjang yang hanya dliakukan oleh individu luar biasa’?

Foto : City Love Hz

Sejarah Marathon

Semuanya bermula di Greece sekitar tahun 490 SM. Hampir 2500 tahun lalu! Ada pelbagai versi tetapi ceritanya lebih kurang begini:

Sepasukan tentera Parsi menyeberangi Laut Aegean dan mendarat di Marathon, sebuah Bandar terletak di Greece yang jaraknya 25 batu dari Athens. Mereka mahu menakluk Marathon dan kemudian Athens. Parsi dengan kekuatan 50000 tentera terlatih manakala tentera Marathon hanya berjumlah 9000 orang. Perbezaan hamper 5 kali ganda di sini.

Pada ketika itu, tiada kereta, kapal terbang apatah lagi Messenger dan WhatsApp. Cara perhubungan antara bandar-bandar adalah melalui perantaraan kuda atau pemnawa berita yang terlatih.

Tentera Greeks perlukan bantuan segera. Berikutan keadaan muka bumi berbatu dan penuh bukit bukau yang menyukarkan khidmat kuda, seorang pelari bernama Phillippides digunakan bagi menggantikan tempat tugas kuda tersebut menyampaikan pesanan.

Phillippides berlari dari Marathon ke Sparta untuk meminta bantuan. Malangnya, bantuan ketenteraan yang diharapkan pada waktu itu tidak dapat ditunaikan. Ini kerana pihak Sparta mempunyai tradisi keagamaan tertentu yang hanya boleh memberikan bantuan ketika bulan purnama mengambang.

Phillippides berlari balik ke Marathon membawa berita duka dan jarak yang dilalui sejauh 150 batu!

Pheidippides | Foto : Awesome Stories

Tentera Parsi menyedari jumlah mereka lebih ramai daripada tentera Greek maka membuat perancangan untuk dibahagikan dua kelompok. Kelompok pertama pergi ke Athens dan kelompok kedua bertempur di Marathon. Namun mereka silap, tentera Greek pintar. Dipendekkan cerita, tentera Parsi tewas di Marathon.

Phillippides yang berjuang di Marathon sekali lagi beliau ditagih khidmatnya. Setelah menang pertempuran, beliau dipilih berlari sejauh 25 batu dari Marathon ke Athens menyampaikan berita kemenangan itu.

Beliau berjaya melakukannya tetapi dalam keadaan diri yang sangat kepenatan. Bayangkanlah berlari ulang alik ke Sparta, bertempur dengan tentera Parsi dan terus berlari lagi ke Athens. Phillippides jatuh pengsan usai dengan lantangnya melaungkan :

“Rejoice, we conquer!”

Beliau kemudian mati sejurus selepas itu. Meskipun begitu, rohnya kekal hidup bersemadi dalam jiwa setiap pelari sebagai simbol komitmen, ketahanan dan keamanan.

Sejarawan bidang ketenteraan, Edward S. Creasy menyebut.

“The day of Marathon is the critical epoch in the history of the two nations. It broke forever the spell of Persian invincibility, which had previously paralyzed men’s minds… It secured for mankind the intellectual treasures of Athens, the growth of free institutions, the liberal enlightenment of the Western world, and the gradual ascendancy for many ages of the great principles of European Civilization.”

Pendek kata, titik tolak permulaan peristiwa besar ini telah membawa kepada perubahan sejarah

Foto : PA Journal

Jika jarak dari Marathon ke Athens ialah 25 batu, mengapa marathon 26.2 batu?

Kembali semula kepada Sukan Olimpik 1908 di London, England. Peristiwa ini mungkin agak sukar diterima akal.

Keluarga diraja pada ketika itu mahu garisan penamat bagi marathon berada di hadapan ‘viewing box’ iaitu tempat bagi kerabat diraja menyaksikan pertandingan. Kerana hal itu, jarak larian dipanjangkan kepada 26.2 batu.

Setelah melalui siri perdebatan selama 16 tahun, jarak 26.2 batu tersebut telah ditetapkan sebagai jarak rasmi pada temasya Sukan Olimpik 1924 di Paris, Perancis.

Dalam bahasa Greek, ‘marathon’ bererti ‘fennel’. Benih fennel digunakan sebagai rempahan masakan. Bandar Marathon pula ialah bandar di mana fennel ditanam.

Foto : Harmony Geneve Marathon

Evolusi sukan marathon

Menurut pemerhatian penulis, sukan marathon melalui evolusi yang tersendiri. Setiap negara, negeri dan daerah berlumba-lumba mengadakan sukan ini dan tidak kurang tempat yang menjadikan marathon sebagai acara tahunan. Seperti contoh, Boston Marathon yang terkenal. Jika di Malaysia, nama larian biasanya diambil sempena nama tempat, penaja, peristiwa dan lain-lain. Selain marathon, half marathon iaitu 21km turut diperkenalkan. Kategori yang dipertandingkan semakin banyak dengan jarak larian berbeza, jantina serta had umur. Ini bagi menggalakkan lebih ramai lagi peserta yang mengambil bahagian. Bagi pelari professional, umumnya mereka berlari mengejar ganjaran dan catatan masa terbaik. Pelari amatur pula lebih kepada hiburan dan kepuasan melakukan aktiviti berfaedah lagi menyihatkan tubuh badan dan minda.

Sumber rujukan

The History of the Marathon

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohd Akmal Vahidi untuk diterbitkan di Sukan.my

Sekiranya anda mempunyai artikel untuk dikongsikan. Hantar di sini.


SHARE ()