Arsenal baru sahaja mengumumkan perlantikan Mikel Arteta sebagai pengurus baharu mereka.
Jawatan pengurus Arsenal kosong, selepas pemergian Unai Emery. Freddie Ljungberg menjadi pemangku dan dibantu oleh Per Mertesacker.
Mikel Arteta kini menjadi pengurus ke-20 dalam sejarah pasukan Arsenal sejak 1897. Beliau menggantikan seorang lagi pengurus berasal dari Sepanyol iaitu Unai Emery.
Unai Emery dipecat selepas prestasi hambar pasukan Arsenal dalam beberapa perlawanan terakhir di bawah jagaannya.
Perkara itu membuatkan ramai penyokong Arsenal teruja dengan perlantikan bekas pembantu Pep Guardiola itu.
Menurut Raul Sanllehi, Arteta telah menewaskan ramai calon lain ketika ditemuduga oleh mereka.
Ini kerana, apa yang membezakan Arteta dengan calon lain adalah jiwa. Beliau memahami tradisi dan kehendak penyokong Arsenal.
Mana tidaknya, apabila Arteta pernah bermain untuk Arsenal selama 5 musim dari 2011 sehingga 2015. Beliau juga bersara sebagai kapten Arsenal.
Arteta dalam kenyataannya kepada Arsenal berkata: “Ini adalah satu penghormatan terbesar. Arsenal merupakan salah sebuah kelab terbesar di dunia.”
Beliau menegaskan, pasukan sebesar Arsenal seharusnya bersaing di peringkat tertinggi dengan lawan lawan terbaik di Eropah.
“Kita perlu bersaing untuk trofi tertinggi di peringkat tertinggi, serta dalam perlawanan tertinggi, inilah yang saya jelaskan dalam perbincangan saya dengan Stan dan Josh Kroenke, serta beberapa lagi orang senior di dalam pasukan ini.”
“Kita semua tahu bahawa ada banyak kerja untuk dilakukan dan ada matlamat untuk kita capai.”
“Namun saya yakin kita akan berjaya melakukannya. Saya juga sangat realistik, dan tahu semua ini tidak akan dapat berlaku dalam masa satu malam.”
“Tetapi skuad yang kita ada sekarang ini, dipenuhi dengan pemain berbakat. Kita juga memiliki sistem terbaik untuk menaikkan pemain akademi ke pasukan utama.”
Josh Kroenke menyatakan kegembiraan beliau berjaya mendapatkan khidmat Mikel Arteta.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada Freddie Ljungberg serta Per Mertesacker yang telah membantu menjaga Arsenal ketika dalam tempoh sulit dan mencari pengurus baharu.
Raul Sanllehi juga menyatakan perkara yang sama. Dan mereka yakin Arteta akan menjadi orang yang tepat dalam memimpin Arsenal kembali semula ke landasan yang betul.
Mereka turut percaya akan Mikel Arteta adalah pengurus yang akan menjadikan Arsenal gergasi bola sepak Eropah sekali lagi seperti mana yang mereka semua mahu lihat.
Arsenal mengesahkan Mikel Arteta akan memulakan tugasannya pada Ahad ini.
Arteta menegaskan tugasan pertama beliau adalah untuk mengenali para pemain Arsenal yang ada dengan lebih baik. Arteta turut berikrar mahu para pemain Arsenal bermain bola sepak lancar yang pantas, sepertimana yang mahu dilihat penyokong Arsenal di seluruh dunia.
Ini merupakan kali pertama Mikel Arteta menjadi pengurus utama. Dan tugasan beliau adalah menjadi pengurus pasukan Arsenal.
Arsenal kini berada di tangga ke-10 dalam liga. Dipisahkan 7 mata daripada 4 teratas. Rasanya masih tidak terlalu terlambat jika mereka bangkit segera dan mengejar slot ke UCL musim hadapan.