Arsene Wenger Tolak Pinangan Barcelona

Arsene Wenger dilaporkan menolak peluang untuk mengganti Quique Setien sebagai pengurus Barcelona.

Pengurus berbangsa Perancis meninggalkan Arsenal pada 2018 selepas 22 tahun di Highbury dan Stadium Emirates, dan tidak menyertai mana-mana pasukan sejak dari itu.

Krisis kejurulatihan di Barcelona menyebabkan Wenger menjadi antara sasaran kelab Catalan itu untuk mengendalikan pasukan di Nou Camp untuk menggantikan Setien.

Media Perancis, Le 10 Sport melaporkan Barcelona adalah salah satu kelab yang cuba memancing Wenger kembali ke bidang pengurusan, dan ditolak oleh jurulatih berusia 70 tahun itu.

Barcelona dipercayai sedang mempertimbang beberapa calon untuk menggantikan Setien selepas kelab Catalan itu gagal mempertahankan kejuaraan LaLiga pada musim ini.

Bekas pemain tenga, Xavi turut dikaitkan dengan jawatan tersebut, nanum tidak boleh berbuat demikian sehingga 2021 kerana komitmen beliau terhadap kontrak dengan kelab Qatar, Al Sadd.

Sejak meninggalkan Arsenal, Wenger telah menolak kemungkinan untuk melatih kelab Inggeris lain, sambil menyifatkan ia perkara yang sukar dilakukan setelah mendedikasikan segalanya kepada hanya satu kelab sebelum itu.

Dan pada tahun lau Wenger mengakui tidak tahu bagaimana hala tuju masa depannya dengan berkata: “Masa depan saya tidak diketahui. Saya sendiri tidak tahu.

“Saya gembira dengan kehidupan sekarang, dan telah banyak ke luar negara mengelilingi dunia baru-baru ini.”

Wenger sekarang mengambil peranan sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Global bersama FIFA dan menyatakan impiannya untuk membantu individu berpotensi di dalam dan luar padang.

“Saya telah menolak peluang menyertai beberapa kelab. Namun secara asasnya tugas saya ialah untuk membantu individu mencapai potensi mereka. Saya akan terus berbuat demikian,” kata Wenger lagi.

“Untuk berbuat demikian, terlebih dahulu saya perlu memenuhi potensi diri dan saya akan terus melakukannya. Adakah saya akan mempraktikkannya di padang perlawanan atau dengan cara berkongsi ilmu dengan mereka di bidang yang sama?”

Nyata Wenger sehingga kini belum menjawab soalan yang dilemparkannya sendiri itu.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.