Arsene Wenger Sanggup Pertimbang Kembali Ke Emirates Selamatkan Arsenal

Arsene Wenger sanggup untuk kembali menyertai Arsenal untuk membantu Mikel Arteta jika diminta. Namun demikian jurulatih veteran itu tidak percaya perkara tersebut akan berlaku.

Wenger melalui 22 musim yang hebat sebagai pengendali Arsenal, sebelum meninggalkan kelab itu.

Pengendali dari Perancis itu adalah antara jurulatih yang kekal lama bersama sebuah kelab selain daripada Sir Alex Ferguson bersama Manchester United.

Sejak pemergian Wenger, keadaan semasa di Emirates tidak pernah lagi pulih seperti mana yang pernah dilalui oleh zaman Wenger – walaupun pada penghujung karier beliau dikritik kerana gagal membawa Arsenal ke tahap seterusnya.

Wenger kemudiannya diganti oleh Unai Emery, namun jurulatih dari Sepanyol itu hanya kekal selama setahun sebelum diganti oleh Arteta pada Disember 2019.

Di bawah kendalian Arteta, segalanya bermula dengan baik namun selepas kejayaan di Piala FA pada musim lalu, segalanya berubah.

Bercakap kepada NBC Sports baru-baru ini, Wenger ditanya sama ada beliau sanggup membantu bekas pemainnya di Arsenal.

Wenger berkata beliau sanggup membantu sekiranya diminta naumun pada masa sama berkata,” Saya tidak mengharapkan apa-apa.”

“Jika saya diperlukan, saya akan bantu. Tetapi saya tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku. Tidak sama sekali.”

Antara perkara yang pernah dinyatakan oleh Wenger berkaitan prestasi Arsenal sebelum ini adalah mengenai cara kelab itu menangani pemain buangan, Mesut Ozil.

Keadaan yang menimpa Ozil membuatkan Wenger sedih dan berkongsi pandangannya dari sudut taktikal.

Wenger adalah pengurus yang berjaya meyakinkan bosnya dulu untuk membeli Ozil dengan nilai £42.5 juta pada deadline day – 7 tahun yang lalu.

Wenger mengakui untuk mengeluarkan yang terbaik daripada Ozil bukan mudah. Ianya memerlukan beliau banyak berfikir dan mengkaji.

Ini kerana gaya permainan Ozil yang dianggap malas itu sebenarnya sangat efisien kalau tahu cara menggunakan beliau.

Bercakap kepada Der Spiegel, Wenger berkata:

“Ozil memang bukan pemain yang sangat berdisiplin [secara taktikal terutama ketika bertahan] di atas padang.”

“Dan gaya permainan untuk memenangi bola [dengan high press] adalah bukan Forte [kekuatan] utama beliau.”

“Namun kamu boleh menyelesaikan perkara itu dengan meletakkan pemain tambahan yang bermain dengan corak defensif untuk menyokong bahagian sebelah dia [Ozil].”

“Isu yang paling penting untuk mengimbangi serangan dan ketika bertahan, kestabilan itu haruslah betul.”

“Ianya bukan satu kebetulan pemain perancang macam Ozil sangat tenang apabila ada bola di kakinya. Mereka adalah pemain yang mencerna lebih banyak informasi berbanding pemain lain sebelum mengambil langkah seterusnya dalam permainan.”

“Segalanya [proses] sudah dilakukannya sebelum dia menerima bola. Dia adalah pemain yang sudah melihat cara untuk membantu kami menang.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.