Angel Di Maria Mahu Messi Digugurkan, Turut Tembak Jurulatih Argentina

Angel Di Maria tidak berselindung untuk mengkritik ketua jurulatih skuad kebangsaan Argentina, Lionel Scaloni selepas namanya tercicir dalan anggota skuad terbaru yang dikeluarkan.

Pemain berusia 32 tahun itu tidak tersenarai di dalam skuad pilihan Scaloni untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Ecuador dan Bolivia yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan.

Pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu nyata tidak menyambut keputusan itu dengan baik, dan turut berpendapat Lionel Messi turut harus menerima nasib yang sama seperti dirinya.

Untuk meluahkan kekecewaannya, Di Maria tidak berselindung menembak Scaloni kerana namanya tiada di dalam senarai pemain yang dipanggil menganggotai pasukan kebangsaan.

“Saya tidak menemui sebarang penjelasan, dan saya hilang kata-kata. Bagi saya, Argentina adalah yang terbaik,” kata pemain itu kepada Clos Continental.

“Beraksi bersama kelab saya mencuba yang terbaik untuk mendapatkan peluang bersama pasukan kebangsaan dan bersaing. Ia sukar untuk memahaminya apabila anda berada di dalam prestasi terbaik namun tidak mendapat panggilan.

“Jika saya tidak dipanggil, ini kerana mereka tidak mahukan saya, tetapi saya tetap berjuang untuk berada di dalam pasukan.”

Walau pun berkata akan terus berjuang untuk memastikan dirinya dipanggil pada masa depan, Di Maria tetap mempersoalkan langkah yang diambil oleh Scaloni menamakan beberapa pemain veteran di dalam pasukan.

“Kerana saya sudah berusia 32 tahun? Jika kita mahu memikirkan tentang pemain pelapis sebagai pengganti, maka kita harus lakukan terhadap semua orang.

“Untuk itu, ia sama saja dengan Messi, Aguero, dan Nicolas Otamendi yang sepatutnya pergi. Begitu juga dengan pemain-pemain lain yang berada di dalam prestasi terbaik.

“Ramai melabel saya sudah tua, tetapi saya masih melakukan larian yang sama tahapnya seperti Kylian Mbappe dan Neymar.

“Saya berada dalam prestasi baik selama 18 bulan dan sepatutnya mendapat panggilan. Saya akan terus membuktikan apa yang saya mampu sumbangkan untuk pasukan.

“Dengan sepenuh jiwa saya berharap masih berpeluang menyarung jersi [Argentina] lagi. Setiap kali saya beraksi dengan baik, saya hanya memikirkan untuk mendapat panggulan.

“Ianya benar saya sudah berada di dalam pasukan untuk 12 tahun, tetapi itulah impian saya dan saya mahu berada di dalam pasukan.”

Pada musim lalu Di Maria membantu PSG mara ke perlawanan akhir Champions League. Dan walaupun dengan prestasi baiknya di peringkat kelab, beliau tidak akan beraksi untuk negaranya.

Kali terakhir beliau tampil untuk Argentina adalah pada Julai 2019 dalam perlawanan play-off tempat ketiga dan keempat Copa America.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.