Analisis: Statistik Serampang Dua Mata Di Sebalik Pembelian Diogo Jota Oleh Liverpool

Bagaimana kita harus melihat pembelian Diogo Jota oleh Liverpool? Ketibaan Diogo Jota di Anfield pada minggu lalu boleh dianggap sebagai pembelian serampang dua mata oleh Liverpool.

Pertama, Jota secara langsung dilihat sebagai back-up kepada rangkaian serangan Liverpool. Kedua, pemain ini tampil sebagai pelaburan untuk masa depan.

Dengan adanya pemain seperti Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino yang dianggap sebagai trio serangan terbaik dunia, di manakah pemain berusia 23 tahun ini boleh memberikan sumbangan?

Berikut adalah analisis statistik dan data oleh Opta, apa yang sudah dimiliki oleh Liverpool melalui trio serangan sedia ada, dan bagaimana Liverpool boleh melangkah selepas ini.

Pemain back-up

Buat masa ini gandingan trio Salah-Firmino-Mane haruslah dianggap yang terbaik dan sukar digugat di dalam sistem Jurgen Klopp.

Tidak ada sebab mahu mengubah satu sistem yang sememangnya sudah terbukti berkesan.

Salah dan Mane menjaringkan 37 gol di antara mereka di saingan Liga Perdana Inggeris pada musim lalu. Jota pula dilihat lebih mirip kepada posisi yang dipegang oleh Firmino di bahagian tengah.

Bagaimana pula prestasi Jota bersama Wolves? Pemain ini telah menjaringkan satu gol untuk setiap 328.1 minit. dan menjaringkan 7 gol keseluruhan pada musim lalu.

Sebagai perbandingan, ratio ini adalah lebih baik daripada apa yang dicapai oleh Firmino yang memerlukan 333.4 minit untuk setiap gol dihasilkan.

Namun demikian corak permainan Firmino seperti yang kita ketahui (sebagai False 9) memberikan perspektif yang berbeza kepada permainan The Reds.

Melalui peranannya, Firmino menghasilkan 10 peluang besar (big chances) dan merekodkan 8 assist. Jota pula menghasilkan tiga peluang besar dan hanya tampil dengan 1 assist. Ia adalah perbezaan yang besar.

Jota mungkin tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan Firmino dari segi jumlah jaringan dan assist yang dihasilkan.

Tetapi melalui Jota, Liverpool memperoleh seorang pemain yang berani berhadapan pemain pertahanan lawan secara satu lawan satu.

Pada musim lalu, Jota menghasilkan cubaan menggelecek ke-5 paling tinggi di Premier League, iaitu sebanyak 151 kali dengan kadar kejayaan melepasi pertahanan lawan sebanyak 43.7%.

Tatkala pemain lain di posisi sama seperti Divock Origi dan Rhian Brewster dikaitkan dengan perpindahan keluar (kekal atau pinjaman), dan Takumi Minamino sehingga kini belum lagi terbukti kemampuannya, Klopp sebenarnya memiliki seorang pemain untuk dibangunkan potensinya untuk musim-musim mendatang – sesuai dengan sistem yang dimiliki The Reds.

Bukan itu sahaja. Versatiliti yang dimiliki oleh Jota bermakna Klopp turut memiliki satu lagi pilihan pemain untuk beraksi di bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan.

Pelaburan untuk masa depan

Ada sebab mengapa saya melihat Jota sebagai pelaburan masa depan oleh Liverpool, dan yang paling penting sebagai pemain di mana Klopp bakal meninggalkan legasi beliau satu hari nanti.

Pada usia 23 tahun, Jota dilaporkan telah menandatangani kontrak selama 5 tahun. Tidak ada kelab di eropah yang akan memberikan kontrak untuk tempoh masa panjang jika tidak mempercayai potensi yang dimiliki oleh seseorang pemain.

Mane dan Salah pula pada hari ini masing-masing berusia 28 tahun. Tatkala kedua-duanya acap kali dikaitkan dengan perpindahan ke LaLiga untuk bersama kelab seperti Real Madrid dan Barcelona, harinya akan tiba juga salah seorang daripada mereka untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Anfield.

Tidak seperti Salah yang tiba dari Roma pada 2017, Mane mencuri tumpuan di Premier League sebelum perpindahan dari Southampton.

Mane berusia 23 tahun pada musim 2014/15. Musim pertama dan kedua pemain ini beraksi di England adalah di Southampton. Sejak dari itu pemain antarabangsa Senegal ini kini menjadi salah seorang penyerang terbaik dunia.

Bagaimana pula Jota dibandingkan dengan Mane (pada musim 2014/15) pada usia yang sama?

Statistik Opta menunjukkan Jota sedikit ketinggalan di belakang. Mane menamatkan musim itu dengan 10 gol, dengan ratio 1 jaringan untuk setiap 213.5 minit.

Dari segi peratus jaringan berbanding peluang yang dimiliki, Mane menyempurnakan 40% (2014/15) peluang yang beliau miliki berbanding Jota yang menyempurnakan 33% peluang (musim 2019/20).

Mane kurang menggelecek lawan, iaitu sebanyak 110 kali berbanding Jota 115 kali. Namun peratus kejayaan Mane ialah pada kadar 53.7%.

Seperti Southampton pada musim 2014/15, Wolves juga turut menamatkan saingan pada musim 2019/20 di kedudukan ke-7.

Rumusan

Buat masa ini masih terlampau awal untuk menilai keupayaan Jota bersama Liverpool. Namun jika beliau mampu mencapai tahap yang dicapai oleh Mane pada tahun-tahun mendatang, sudah tentu kita boleh simpulkan Liverpool telah membuat pelaburan yang berbaloi.

Penyokong Liverpool pasti ingat bagaimana Klopp membangunkan potensi Mane. Jota bolehlah dianggap sebagai projek seterusnya untuk Klopp.

Klopp pernah mengatakan dirinya akan berehat setahun selepas kontranya bersama Liverpool tamat 4 tahun akan datang. Sekiranya menjadi, maka Jota boleh dianggap sebagai satu lagi legasi peninggalan Klopp.

Apa-apa pun Liverpool kini telah berjaya memancing salah seorang pemain yang boleh mengujakan bola sepak Inggeris dan Eropah di Anfield.

 

Nota Editor: Artikel ini adalah perkongsian Saudara Gary Hardin Lugard. Beliau adalah seorang penyokong Manchester United yang tegar dan kental dan sering jujur dalam penilaiannya. Merupakan bekas panelis bersama Astro Arena di rancangan Formasi dan Editor di Semuanya BOLA, beliau kini adalah seorang penulis bebas. 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.