Analisis: Statistik Luqman Hakim Dalam Perlawanan Menentang Anderlecht

Bola sepak negara mencipta sejarah apabila Luqman Hakim Shamsuddin tampil menjadi pemain pertama dari Malaysia untuk beraksi di saingan liga utama di Eropah.

Seperti dijangkakan, Luqman Hakim tidak diturunkan dari permulaan, dengan pemain lebih berpengalaman seperti Ilombe Mboyo menjadi pilihan utama pengurus pasukan Johan Wallem.

Luqman hanya dibawa masuk pada minit ke-74 perlawanan aksi Jupiler Pro League ketika bertemu RSC Anderlecht awal pagi ini.

Dalam perlawanan tersebut, KV Kortrijk tewas 1-3 kepada RSC Anderlecht yang dibimbing oleh bekas pemain pertahanan Manchester City, Vincent Kompany.

Statistik Luqman vs Anderlecht

Tidak banyak yang boleh diperkatakan untuk aksi selama 16 minit oleh Luqman Hakim dalam penampilan pertamanya.

Namun ini tidak bererti kita tidak boleh menilai beliau secara kasar melalui statistik yang dihasilkan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Whoscored.com, Luqman jelas masih perlu memperbaiki ketepatan hantaran. Sepanjang perlawanan, beliau telah melakukan 55.6% ketepatan hantaran sahaja.

Ia bukan paling rendah di kalangan pemain KV Kortrijk. Pemain penyerang, Eric Ocansey yang beraksi selama 45 minit misalnya hanya menghasilkan 50% ketepatan hantaran.

 

Secara keseluruhan, Luqman cuba melakukan 9 hantaran dalam perlawanan ini, dan berdasarkan peratus tersebut, empat daripadanya berjaya dihalang lawan.

Faktor kegugupan mengambil kira ini adalah debut bagi Luqman mungkin faktor kepada peratus hantaran yang sebenarnya average. Ia bkan permulaan yang buruk juga mengambil kira 10 sentuhan bola yang dilakukannya.

Peranan dan posisi

Apakah posisi sebenar Luqman Hakim bersama KV Kortrijk dalam perlawanan menentang Anderlecht ini?

Kortrijk memulakan perlawanan dengan formasi 4-4-2 yang berbentuk diamond, dengan seorang pemain tengah pertahanan, dan seorang lagi pemain aktif di belakang dua penyerang utama.

 

Struktur tersebut bagaimanapun berubah kepada 4-3-3 apabila Kortrijk memasukkan Pape Habin Guaye pada awal babak kedua sebelum Jovan Stojanovic dan Luqman Hakiim untuk 15 minit terakhir perlawanan.

Berdasarkan heat map yang diambil dari whoscored, Luqman sebenarnya diberikan peranan untuk beraksi di posisi sayap kanan/ pemain tengah kanan.

Seperti yang dikatakan pada awal tadi, KV Kortrijk telah tewas dengan jaringan 3-1 kepada Anderlecht dan Luqman Hakim telah dimasukkan pada minit ke-74 ketika ketinggalan 3 gol tanpa balas.

Kemasukan Luqman Hakim telah membantu KV Kortrijk memperolehi gol saguhati pada minit ke-87 melalui sepakan penalti Ilombe Mboyo.

Dan gol tersebut dihasilkan hasil larian Luqman dari posisi tersebut yang melakukan satu cut back pendek kepada ke dalam kawasan penalti lawan.

Pemain Anderlecht Francis Amuzu dipersalahkan oleh pengadil kerana melakukan kekasaran terhadap Julien de Sart yang cuba menyambar umpanan Luqman dalam kotak penalti.

Rumusan

Secara keseluruhan Luqman telah melakukan permulaan yang dianggap sangat positif. Namun ada beberapa perkara perlu diberikan penekanan oleh beliau selain daripada keyakinan.

Antaranya ialah untuk membentuk otot yang kuat sesuai dengan bola sepak di Eropah yang lebih fizikal, dan juga sudah tentu menuntut stamina yang tinggi.

Jika fizikal dan stamina ini mampu ditambah baik, kami yakin Luqman tidak ada masalah mencabar mana-mana pemain pertahanan di Eropah.

Manakala untuk keyakinan, ia harus dibina melalui perlawanan sebegini. Tahniah Luqman, jalan terus!

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.