Analisis Aras Tinggi: 5 Sebab Man United Kalah Macam Biasa

Manchester United turun dalam aksi ke-24 Liga Perdana Inggeris dengan haraoan. Mereka berhadapan dengan pasukan Burnley.

Sebelum sepak mula, Ole sudah membangkitkan pemain dengan motivasi. Bahawa, beliau percayakan pemain yang ada di dalam pasukan, memberikan bayangan bahawa kelab Manchester United tidak terlalu terdesak mahukan pemain baharu.

United turun memanaskan badan dengan baju naga mereka. Mengharapkan roh haiwan itu meresap pada diri mereka yang baru sahaja tewas 2-0.

Manchester United menguasai perlawanan ini dan Menunjukkan bahawa keinginan tinggi pasukan itu mahu menang bergaya. Burnley hanya mampu bertahan dan menyerap asakan United yang datang dari kiri, dan kanan.

Pada minit ke-16, Aaron Wan Bissaka mencipta peluang keemasan untuk Anthony Martial, namun malangnya pemain bintang Manchester United itu gagal menyempurnakan peluang tersebut.

United berterusan mengawal perlawanan. Pada 27 minit pertama mereka menguasai 69% perlawanan ini.

Pada minit ke-33, Anthony Martial memiliki satu lagi peluang yang dinafikan oleh pemain lawan. Jelas sekali pemain Perancis itu kecewa selepas terlepas beberapa peluang gol.

Tidak disangka-sangka, Manchester United ketinggalan terlebih dahulu di belakang pada minit ke-39. Burnley mendahului menerusi Chris Wood.

Manchester United masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan 0-1.

Bersambung aksi babak kedua, Ole mengerah masuk pemain yang disifatkan beliau persis Van Persie iaitu Mason Greenwood, dan mengeluarkan Andreas Pereira.

Hanya seminit perlawanan bersambung, Daniel James terus melaungkan amaran kepada pasukan lawan dengan ancaman awal.

Ketika Manchester United sedang berkira-kira untuk mencipta kebangkitan yang sudah menjadi asam garam dan darah daging mereka, Burnley mengejutkan United sekali lagi.

Jay Rodriguez telah melakukan rembatan padu dan deras menewaskan David De Gea. Terkapai-kapai, kelemasan De Gea dibuatnya.

Lebih kejam, gol itu adalah gol yang menuju ke near post David De Gea.

Ternyata Jay Rodriguez menyukai perlawanan seperti ini.

Namun United tetap yakin dengan kebangkitan menentang Burnley. Ini kerana dalam 3 daripada 7 aksi berhadapan Burnley mereka ketinggalan 2 gol di tangan Burnley dan 2 perlawanan sebelum ini mereka mengikat Burnley 2-2.

Adakah ia dapat dilakukan malam ini?

Selepas ketinggalan 2-0, Ole memasukkan dua pemain harapan beliau. Pemain Terbaik Tahunan Manchester United 2019, Luke Shaw dan juga Lingard.

Kemasukan mereka diharap dapat memberikan impak dan membantu kelab bangkit.

Penyokong Man United keluar mengosongkan stadium lebih awal.

Luke Shaw kemudian menyumbat masuk bola. Namun gol itu tidak diterima kerana Shaw terlebih dahulu memanjat belakang pemain lawan.

Namun  ternyata tiada kebangkitan yang dapat dilakukan Manchester United walaupun jersi mereka musim ini diselit propaganda 90+3, mengingatkan Fergie Time di Barcelona.

Manchester United menelan satu lagi kekalahan pada aksi EPL. Menjadikan mereka musim ini sudah kalah 8 kali.

United masih berada di tangga kelima, gagal memanfaatkan peluang untuk merapatkan jurang mata dengan Chelsea, sekali lagi.

Burnley pula berjaya menjauhi zon penyingkiran dengan tujuh mata, hasil daripada kemenangan bergaya di Old Trafford.

Analisis

Berikut adalah analisis 5 sebab United kalah.

1. Burnley main long ball

Jelas sekali Burnley bermain lambung sana sini.

2. Ole pakai seluar salah

Biasanya Ole menyimpan rahsia dalam poket. Dan ini membuktikan kali ini salah seluar dipakai Ole.

3. Manchester United masih meraikan tahun baru

Manchester United masih meraikan tahun baharu 2020. Maka dalam dua perlawanan mereka kalah 2-0, 2-0.

4. Manchester United lemah

United lemah dan dibakar.

5. United mahu duduk tempat keramat

Terlalu lama tak duduk nombor 6. Kini mereka semakin hampir, hanya dibezakan perbezaan jaringan dengan Spurs.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.