Allison Stoke, Sensasi Internet Yang Cantik Dan Rendah Diri

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Allison Stokke menjadi popular selepas gambarnya tular di internet. Gambar Stokke dimuat naik oleh seorang jurugambar dan ramai yang mahu mengenali atlet cantik ini. Ia telah mengubah hidup beliau.

Allison Stokke Menjadi Sensasi Internet

Allison Rebecca Stokke lahir California pada 22 Mac 1989. Pada usia awalnya, Stokke mencuba menjadi atlet gimnas namun bakatnya tidak cukup bagus dan dia memilih menjadi atlet padang.

Pada usia 15 tahun Allison Stoke berjaya memenangi kejohanan remaja Amerika Syarikat (AS) dengan lompatan lebih daripada 12 kaki. Beliau mulai menjadi antara atlet yang dilihat ada potensi besar.

Ketika di sekolah tinggi dia terus meningkatkan keupayaannya. Pada 2005, Stokke memecahkan rekod peribadi beliau dengan ketinggian lebih 13 kaki. Rekod terbaik untuk atlet wanita pada usia 16 tahun di AS.

Di peringkat senior sekolah tinggi, Stokke memperbaiki catatan itu di kejohanan kebangsaan dengan ketinggian 13 kaki 6 inci.

Pada 2007, ketika berusia 17 tahun, Stokke menantikan giliran beliau untuk melakukan lompatan. Ketika inilah gambar beliau ini diambil dan tak lama kemudian menjadi sensasi di alam maya.

Ingatkah anda dengan gambar ini?

Blog pertama yang menerbitkan gambar ini adalah With Leather yang pengunjungnya adalah majoriti kaum lelaki. Ini yang menjadikan gambar Stokke ini menjadi sangat sensasi.

Jurugambar gambar tersebut  mengarahkan gambar itu diturunkan kerana ia melanggar hak cipta. Tetapi siapa dapat mengawal ia merebak dengan cepat di internet?

Allison Menjadi Public Figure

Tumpuan kepada Stokke menjadi sangat tinggi. Semua orang ingin tahu siapakah gadis di dalam gambar tersebut, adakah ia gambar asli ataupun telah diedit? Ini kerana susuk tubuh Allison sangat sempurna.

Ramai pengguna internet menganggap Allison stoke sebagai ‘internet crush’ mereka. Punyalah hebat penangan sekeping gambar itu.

Syarikat akhbar terkemuka juga mulai menerbitkan cerita tentang gambar itu termasuk The New York Times dan The Washington Post. Berita tentang Allison tersebar sehingga ke seluruh dunia.

Banyak stesen tv menawarkan diri untuk menemubual Allison. Namun Allison cuba mengelak kerana beliau tidak mahu menjadi perhatian umum.

Ianya semakin sukar dikawal. E-mailnya penuh dengan pelawaan untuk sesi fotografi. Akhirnya gadis biasa ini terpaksa mencari pengurus untuk berhadapan dengan kegilaan itu.

Stoke memberitahu yang dia lebih mahu dikenali sebagai atlet lompat bergalah berbanding dengan seorang selebriti.

Allison Stoke mempromosi channel youtube beliau dan di sana beliau memberikan beberapa tips untuk melakukan lompatan.

Tetapi, orang ramai tetap bercerita tentang kecantikannya dan sangat sedikit yang bercerita tentang kariernya sebagai atlet.

Ayahnya terpaksa mengupah peguam untuk membantu Allison menjauhkan diri daripada perhatian liar media dan peminat. Allison tidak suka dengan publisiti yang dianggapnya tidak betul tentang dirinya.

Kesan Kepada Mental

Oleh kerana perhatian yang terlalu banyak kepada dirinya pada usia muda, Stokke merasa agak tertekan kerana dia masih dalam proses mengembangkan bakat. Tetapi perhatian kepadanya seperti dirinya pemenang emas olimpik.

Jika dahulu tingkap rumahnya boleh terbuka, tetapi selepas itu dah tak boleh. Ketika keluar dari rumah, Allison sudah seperti artis Hollywood yang mengelak paparazi.

Allison Stoke kecewa kerana dia gagal menjadi atlet lompat bergalah yang hebat ketika usiannya semakin meningkat. Oleh itu dia sedih kenapa namanya masih dicari lebih daripada sejuta carian di google.

Sikapnya yang merendah diri dan sentiasa mahu menjadi atlet lompat bergalah yang berjaya sentiasa disenangi rakan terdekat beliau.

Ketika melanjutkan pelajaran di Universiti, Stokke terus cuba memperbaiki tekniknya dan mahu mengejar mimpi yang masih tak terlaksana.

Stokke terus memecahkan beberapa rekod di sana. Stokke juga memperbaiki catatan peribadi terbaik beliau. Dalam akademik, Stokke berjaya menamatkan pelajaran dengan Masters dalam bidang Sosiologi.

Selepas tamat pengajiannya, Stokke terus mengejar impian untuk menyertai sukan olimpik. Beliau memperbaiki catatan peribadi terbaik dengan 14 kaki 3 inci.

Peningkatan yang positif dan beliau yakin akan mampu mewakili AS dalam Sukan Olimpik London. Namun malangnya untuk gadis ini apabila beliau gagal menempatkan diri sebagai 12 yang terbaik di AS. Beliau gagal untuk ke Olimpik 2012.

Pada sukan Olimpik 2012, Stoke berusia 23 tahun dan itu adalah usia terbaik untuk beliau beraksi.

Pada 2015, Allison Stokke telah menjadi peragawati profesional. Wajahnya yang jelita itu membuatkan Stokke berjaya medapatkan banyak tawaran termasuk Nike dan Uniqlo.

Stokke memperagakan pelabagai jenis pakaian daripada pelbagai jenis sukan. Senyuman ketika sesi penggambaran sebagai peragawati tetap masih ada kelukaan di hatinya. Stokke sentiasa ingin menjadi atlet olimpik. Impian yang masih tak terlaksana.

Stokke mendapat satu tawaran daripad GoPro yang mahu menaja Stoke dalam rakaman video beliau. Allison Stokke yang seringkali memuatnaik aksi lompatan dan mengajar teknik asas kepada pengikut youtube beliau kini boleh menggunakan GoPro untuk berbuat demikian.

Satu projek menarik di mana, GoPro dan Stokke menghasilkan video ini:

Impian beliau ke Olimpik masih tidak pernah padam dan kini Stokke berlatih dengan pasukan trek dan padang di Phoenix. Setiap hari dia cuba memperbaiki prestasi dirinya untuk menjadi seorang olimpian.

Dalam satu warwancara, Allison Stoke memberitahu yang beliau banyak menolak tawaran daripada syarikat besar untuk menjadi peragawati mereka kerana tawaran tidak munasabah ataupun terlalu besar.

Biar betul Allison?

Ini kerana Stokke berpendapat lagi ramai atlet hebat di luar sana yang berhak mendapat kontrak lumayan seperti itu bukannya atlet yang tiada pencapaian di kejohanan major.

Pernah sekali, ketika di universiti kelas mereka diminta menulis tentang pengalaman buruk, Allison menulis panjang lebar tentang kisah gambarnya yang menjadi viral itu sebagai antara pengalaman buruk dalam hidupnya.

Tetapi Allison kemudian memadamkannya dan menghantar kisah lain.

Alter-ego

Allison memberitahu yang gambar viral beliau dahulu sangat berbeza dengan dirinya. Ia juga telah menjadi mimpi buruk kepada seorang gadis biasa yang tidak sukakan perhatian umum.

“Saya merasakan yang di gambar itu bukan saya. Kami orang yang berbeza. Saya dapat merasakan ‘dia’ telah mengambil banyak perkara daripada hidupsaya. Sebab itu saya mahu lari daripadanya dan tidak mahu dikaitkan dengan gadis itu.”

“Saya tidak mahu menjadi selebriti. Saya mahu menjadi atlet dan diri saya sendiri.”

Selamat Maju Jaya Allison Stokke

Itulah kisah Allison Stokke yang jarang ada pada manusia lain. Dia tidak mahu menjadikan rupanya untuk menarik kontrak bernilai jutaan dollar.

Dia merasakan dia tak berhak untuk terlalu disanjung kerana masih belum ada pencapaian besar dalam kariernya sebagai atlet.

“Satu sudut lain, saya bukan pelompat bergalah terbaik di negara ini, kenapa saya perlu diberikan perhatian sebegitu banyak?”

“Saya tidak mahu orang kenali saya sebagai gadis yang cantik, saya nak orang kenali saya sebagai atlet lompat bergalah.”

Namun ibunya melihat di sebalik keburukan ada juga banyak kebaikan gambar gadis 17 tahun itu dulu menjadi tular. Menurut ibunya, Allison menjadi sangat cepat matang dan lebih berkarakter ketika menangangi situasi itu pada usia  muda.

Ibunya juga kagum kerana di sebalik perhatian dan tawaran untuk menjadi popular sebagai selebriti, anaknya tidak pernah lupa akan matlamat hidupnya yang mahu menjadi atlet olimpik. Tidak ramai manusia sekuat Allison Stokke.

Kini Stokke masih lagi berpacaran dengan bintang golf Rickie Fowler. Diharap terus kekal bahagia dan mencapai impian anda.


SHARE ()