Allardyce Anggap Kemenangan West Brom Bertemu Liverpool Dirompak Oleh Keputusan Pengadil Yang Memalukan

Liverpool berjaya mengutip tiga mata penuh ketika aksi bertemu West Brom awal pagi tadi, dalam satu perlawanan yang cukup dramatik dan kontroversi.

The reds sememangnya memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang mereka mara ke saingan liga Juara-Juara musim hadapan.

Namun ia sepertinya sukar ketika mereka mengharungi perlawanan tersebut dengan keputusan terikat 1-1 sehingga minit ke-90 permainan.

Pengadil memberi tambahan masa selama empat minit, dan ketika masuk ke minit akhir permainan, Liverpool berjaya memenangi sepakan penjuru.

Kesemua pemain Liverpool termasuk penjaga gol mereka, Alisson Becker maju ke hadapan dan berkumpul di dalam kotak penalti West Brom.

Dan dengan tidak diduga, Alisson berjaya menanduk masuk bola hantaran dari Trent Alexander Arnold untuk memastikan kemenangan milik Liverpool.

Ia merupakan detik yang sungguh mengharukan untuk bintang Brazil itu selepas beliau berjaya menjaringkan gol penting untuk Liverpool di minit-minit akhir perlawanan.

Beliau turut mendedikasikan jaringan tersebut kepada mendiang ayahnya yang telah meninggal dunia pada Februari lalu.

Namun begitu, sebalik kegembiraan skuad kendalian Jurgen Klopp meraikan kejayaan mereka, West Brom pula sebenarnya merasakan kemenangan mereka telah dirompak.

West Brom merasakan mereka sudah berjaya mendominasi permainan ketika Kyle Bartley menjaringkan gol kedua untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-71 permainan.

Walau bagaimanapun, jaringan tersebut telah dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana kedudukan Matt Phillips jelas menghalang pandangan Alisson Becker.

Sam Allardyce begitu bengang dengan insiden tersebut dan menganggap keputusan pengadil membatalkan gol tersebut sangat memalukan.

Beliau juga merasakan kemenangan West Brom telah dirompak oleh keputusan pengadil yang sama sekali tidak masuk akal.

“Ia sukar untuk saya terima selepas melihat hal sejelas itu. Kami tak mahu kemenangan kami dirompak seperti ini. Bukan dari Liverpool, tapi dari keputusan yang dibuat pada hari ini.”

Jelas Allardyce menurut BirminghamMail.

“Ia memang ada keputusan yang mendatangkan masalah kepada kami untuk kedua-dua gol Liverpool. Ia sepatutnya drop ball bukan sepakan percuma. Ia sudah jelas kesilapan yang nyata jika mengikut peraturan sebenar. Itu nombor satu.”

“Kemudian gol yang kami jaringkan…VAR sepatutnya ada di sana jadi pemain yang onside boleh menjaringkan gol. Ia sungguh mengejutkan, keputusan yang mengarut ketika kamu ada VAR. Ia tidak berpihak kepada kami dalam dua insiden dan itu alasan kenapa kami tak dapat tiga mata penuh hari ini.”

“Kekecewaan terbesar saya adalah berkait dua insiden itu. Saya rasa nak anggap mereka keterlaluan pun tak cukup untuk menggambarkan apa saya rasa.”

“Jika ada yang merasakan keputusan pengadil tepat, ia sangat mengarut bagi saya.”

Tambah Allardyce lagi.

“Jika mereka mahu kata keputusan pengadil atau penjaga garisan membatalkan gol tersebut adalah benar, ia sungguh memalukan. Mana ada kaitan langsung dengan menghalang pandangan penjaga gol dan sebagainya. Hal yang semua orang kata dia menghalang penjaga gol dari menyelamatkan bola..bagi saya jika tiada sesiapa di situ sekali pun, dia tak akan dapat selamatkan. Ia mengelirukan.”

“Pengadil seharusnya tahu tentang peraturan. Dia salah buat keputusan. Saya hanya boleh katakan yang saya sangat kecewa dengan pengadil berpengalaman yang boleh buat kesilapan seperti itu. Satu lagi gol itu sukar untuk dipercayai. Tindakan mereka benar-benar kejam.”

Allardyce turut sempat mengusik Jurgen Klopp dengan mengatakan yang Liverpool layan untuk dapat sedikit keberuntungan selepas teruk dihukum oleh Mike Dean ketika aksi babak pertama permainan.

“Jurgen selalu betul kan, betul tak?”

Jelas Allardyce menurut Liverpool Echo.

“Kamu tahu apa maksud saya. Dia selalu fikir yang dia betul, mungkin saya juga buat hal yang sama.”

“Dia sangat beruntung hari ini dan dia tahu itu.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.