Alexis Sanchez meluahkan rasa gembiranya selepas melengkapkan perpindahan secara tetap dari Manchester United ke Inter Milan.
The Red Devils dilaporkan terpaksa membayar £9 juta kepada pemain itu sebagai sebahagian daripada pakej perpindahan percuma ke Inter.
Perpindahan tersebut akhirnya menamatkan mimpi ngeri Sanchez di Old Trafford selepas hanya menjaringkan lima gol dan menghasilkan sembilan assist dari 45 penampilan.
United juga dilaporkan berpuas hati dengan hasil perpindahan Sanchez yang menerima sekitar £50 juta untuk baki kontrak selama dua tahun sekiranya terus kekal di Old Trafford.
United begitu terdesak melepaskan Sanchez sehingga sanggup melepaskan pemain itu secara percuma kepada Inter setelah meminjamkan pemain itu selama setahun.
Sanchez akan menerima £130,000 seminggu setelah melengkapkan perpindahan ke San Siro. Jumlah tersebut adalah 20% daripada apa yang beliau perolehi di Old Trafford sebelum ini.
Tidak menyembunyikan kegembiraannya bergelar pemain Inter secara tetap, Sanchez melakukan ucapan di Instagram peribadi miliknya.
“Saya sangat gembira di sini bersama kalian, penyokong-penyokong Inter. Di sini akhirnya saya menemui sebuah keluarga, dan kakitangan di sini semuanya hebat,” ujar beliau.
“Ia adalah satu kumpulan yang berkeinginan untuk menang sesuatu yang besar. Mereka yang ada di sini sanggup untuk berjuang bersama-sama sebagai sebuah pasukan demi kelab.
“Saya sentiasa laparkan [kejayaan] dan mahukan kemenangan – tujuan utama saya ialah untuk membuat semua penyokong gembira.
“Saya berada di sini untuk menang, dan saya sangat gembira untuk terus kekal di sini bersama Inter!”
Kontrak Sanchez di United sebelum ini dipercayai bernilai £560,000 seminggu sekaligus menjadikan beliau pemain yang menerima gaji tertinggi di Premier League.
Sanchez kini bebas untuk terus beraksi untuk kelab Itali itu di pertandingan Europa League, dan berkemungkinan berhadapan dengan Manchester United di Cologne sekiranya kedua-dua pasukan mara ke perlawanan akhir pada 21 Ogos hadapan.