Alexis Sanchez Cedera Lagi

Alexis Sanchez telah mengalami kecederaan dalam aksi antarabangsa bersama Chile. Sanchez musim lalu banyak menghabiskan masanya di luar padang untuk pemulihan kecederaan.

Sejak menyertai Manchester United, segalanya serba tak kena untuk Alexis Sanchez. Beliau bergelut dengan prestasi dan diburukkan dengan beberapa kecederaan yang melandanya.

Boleh dikatakan, sejak meninggalkan Arsenal, segalanya serba-serbi tidak menjadi seperti yang beliau harapkan.

Musim ini, Sanchez dipinjamkan ke Inter Milan. Dan beliau baru sahaja pulih daripada kecederaan. Ole Gunnar Solskjaer menyatakan pemain itu tiada dalam perancangan mereka musim ini.

Sepanjang di San Siro, Alexis Sanchez menerima gaji yang dibayar bersama-sama oleh Inter dan Manchester United.

Namun kini, Sanchez terpaksa berehat sekali lagi selepas mengalami kecederaan pada tendonnya.

Alexis Sanchez terpaksa diusung keluar padang dalam aksi seri tanpa jaringan di antara Chile dan Colombia.

Sanchez bermain selama 88 minit dalam perlawanan tersebut. Itu adalah aksi pertama beliau selepas debut dalam UCL berhadapan dengan Barcelona.

Antonio Conte sebelum ini percaya Sanchez akan bangkit daripada kemalapan prestasi. Namun fokus utama adalah kembali cergas sepenuhnya.

Namun selepas kembali cergas, Sanchez terpaksa menelan satu lagi kecederaan.

Sanchez sebelum ini melakukan debut menentang Sampdoria. Beliau menjaringkan 2 gol dalam aksi itu. Namun malangnya selepas itu, gol beliau ditarik balik dan diberikan kepada Stefano Sensi.

Lebih malang, Alexis Sanchez kemudiannya dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Pasukan perubatan Chile mengesahkan Sanchez mengalami kecederaan tendon. FA Chile dalam kenyataan mereka berkata: “Pasukan Perubatan Pasukan Kebangsaan Chile mengesahkan bahawa pemain Alexis Sánchez mengalami kecederaan tendon peroneal, pada pergelangan kaki kirinya separuh masa kedua perlawanan dengan Colombia.”

“Beliau akan dilepaskan dari kem pasukan kebangsaan Chile dan kembali ke Milan selepas imbasan MRI, dan rawatan susulan diperlukan.”

Pengurus Chile, Reinaldo Rueda percaya kecederaan Sanchez bukan serius. Dan beliau membidas corak permainan keras oleh Colombia.

Namun laporan olth Mail Online menyatakan kecederaan Sanchez mungkin akan membuatkan pemain itu tersisih sepanjang tahun ini.

Semoga Alexis Sanchez cepat sembuh untuk kembali beraksi di atas padang.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.