Alasan Mengapa Peminat Liverpool Guna Gambar Barnes Sebagai Profile Mereka Dua Tahun Lalu

Ashley Barnes menjadi wira kepada Burnley selepas menjaringkan gol kemenangan untuk skuad kendalian Sean Dyche menewaskan Liverpool 0-1 di Anfield awal pagi tadi.

Selain dari membantu pasukannya mendapatkan tiga mata penuh, jaringan beliau juga berjaya menjadikan Burnley sebagai pasukan pertama menewaskan Liverpool di Anfield sejak dari April 2017.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu telah mengharungi 1,369 hari tanpa mencatatkan sebarang kekalahan di bumi Anfield dalam saingan liga, sebelum Barnes meleburkan rekod tersebut.

Permulaan tahun baru yang buruk untuk the reds selepas mereka gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir dalam saingan liga musim ini.

Lebih buruk lagi, Liverpool hanya mampu menjaringkan 3 gol sahaja sepanjang tempoh tersebut dengan mereka merekodkan dua kekalahan dan mencatat tiga keputusan seri.

Walau terdapat pelbagai pertikaian berkait insiden penalti yang dimenangi oleh Ashley Barnes, namun tidak ada sesiapa boleh menafikan hak bahawa nama beliau akan kekal dalam sejarah kelab sebagai pemain yang meleburkan rekod tidak pernah kalah Liverpool di bumi Anfield.

Namun sebelum ini, beliau pernah disanjung dan dianggap sebagai wira oleh peminat Liverpool sendiri pada kempen saingan liga musim 2018/19.

Liverpool pada ketika itu bersaing dengan Manchester City untuk bergelar Juara saingan Liga Perdana Inggeris, dan perbezaan mata antara kedua-dua pasukan hanya satu mata sahaja.

Ketika itu, Manchester City bakal bertemu Burnley dalam aksi saingan liga sementara Liverpool pula berharap agar skuad kendalian Pep Guardiola itu bakal kehilangan mata dalam perlawanan tersebut.

Memandangkan Ashley Barnes mempunyai reputasi yang bagus ketika bertemu pasukan big six, maka tidak hairanlah beliau pada ketika itu diangkat menjadi wira sehingga ramai penyokong Liverpool menukar gambar profile mereka kepada gambar bintang Burnley itu.

Barnes sendiri ketika itu bertekad mahu membantu Liverpool memenangi gelaran liga dengan menewaskan Manchester City supaya mereka kehilangan mata.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sendiri pernah menyatakan bahawa beliau akan menandatangani Barnes andai pemain itu menjaringkan gol ketika bertemu City.

“Saya tahu apa makna memenangi liga untuk mereka. Kami semua akan tercatat dalam lipatan sejarah mereka andai kami bantu mereka menewaskan Manchester city. Jurgen Klopp sendiri ada kirim pesanan kepada saya andai saya jaringkan gol, dia mungkin akan tandatangani saya musim depan.”

“Saya juga nampak mereka pakai gambar saya sebagai gambar profile mereka, tapi itu sebahagian dari keseronokkan dan kehangat menjelang perlawanan tersebut.”

“Tapi anak saya tidak gembira. Saya beritahu dia bahawa saya harus menjalankan kerja saya ketika bertemu City dan dia balas ‘aduh ayah, biar betul’. Dia tidak akan sokong Burnley itu sudah tentu. Dia mungkin akan memakai jersi City berbanding jersi Burnley.”

“Dia peminat kepada semua pemain City dan Raheem Sterling serta Leroy Sane merupakan paling dia minat. Saya tak rasa diri saya sendiri pemain kegemaran dia ketika ini. Dia peminat City dan andai saya jaringkan gol dia pasti akan tendang saya selepas tamat perlawanan.”

Namun Barnes pada ketika itu gagal untuk membantu Liverpool menjaringkan gol ketika bertemu City dan ironinya, musim ini beliau menjaringkan gol ketika bertemu Liverpool seterusnya mengecewakan jutaan peminat the reds.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.