Aksi Stones Dan Mahrez Di Dalam Terowong Cetus Kontroversi Di Kalangan Peminat

Terdapat satu rakaman yang menunjukkan dua pemain Manchester City, Riyad Mahrez dan John Stones sedang berbincang di dalam terowong ketika aksi perlawanan akhir Champions League.

Walau bagaimanapun, para peminat merasakan kedua-dua pemain itu sebenarnya sedang bertekak dan bergaduh berkait persembahan mereka pada aksi babak pertama permainan.

City menderita kekalahan 1-0 di tangan Chelsea dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan di Portugal itu hasil jaringan Kai Havertz pada aksi babak pertama permainan.

Havertz berjaya melepasi kawalan Stones dan Ruben Dias dan beliau dengan tenangnya berjaya menewaskan Ederson untuk menjaringkan gol kemenangan Chelsea.

Terdapat satu rakaman yang memperlihatkan Mahrez dan Stones sedang berbincang sesuatu di dalam terowong pada rehat separuh masa dengan para pemain pada ketika itu sedang dalam perjalanan untuk kembali ke padang.

Ramai peminat yang merasakan Mahrez sedang bercakap berkait kelemahan barisan pertahanan City yang dilihat agak rapuh pada aksi babak pertama permainan.

Pemain kebangsaan Algeria itu sepertinya sedang memberi arahan kepada Stones supaya bermain lebih rapat dengan jentera serangan Chelsea.

Kedua-dua pemain itu meneruskan perbincangan mereka sambil berjalan melepasi terowong dan mengambil posisi masing-masing setibanya di atas padang.

Mahrez dan Stones sedang melalui karier yang cemerlang bersama Manchester City pada musim ini.

Riyad Mahrez pada musim ini telah menjadi pemain terpenting dalam membantu jentera serangan City dengan Stones pula berada di tahap persembahan terbaiknya di bahagian pertahanan.

Pemain berusia 30 tahun itu telah berjaya menjaringkan 14 gol dan mencatatkan sembilan assists dalam semua pertandingan musim ini bersama Manchester City.

Stones pula cemerlang membina gandingan yang cukup mantap bersama Ruben Dias di bahagian pertahanan dan aksi hebatnya berjaya membantu beliau dipanggil semula untuk sertai skuad kebangsaan England.

Walau ramai yang mengatakan Stones dan Mahrez sebenarnya bertengkar di dalam terowong, namun ada juga peminat yang menganggap ia bukanlah pertengkaran melainkan nasihat sesama rakan sepasukan.

Sepertinya Mahrez memberi nasihat dan semangat kepada Stones kerana melihat pemain kebangsaan England itu sedikit gugup dan agak gopoh pada aksi babak pertama permainan.

Dan kedua-dua mereka sepertinya bukanlah bergaduh atau bertekak seperti yang didakwa oleh kebanyakkan peminat di media sosial.

Kemenangan Chelsea telah membantu melengkapkan debut yang sempurna untuk Thomas Tuchel yang berjaya memimpin The Blues untuk menjuarai Champions League walau beliau baru sahaja dilantik sebagai pengurus.

Thomas Tuchel telah dilantik sebagai pengurus Chelsea pada Januari lalu selepas The Blues memutuskan untuk memecat legenda kelab Frank Lampard.

Sementara Pep Guardiola sendiri pula, beliau ketika ini sudah hampir satu dekad sejak kali terakhir menjulang kejuaraan Champions League.

Adakah beliau akan berpeluang lagi untuk membawa City bergelar Juara pada musim depan? Atau beliau tidak akan berjaya menjulang kejuaraan Champions League di Etihad?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.