Aksi Fernandes Maki Pengadil Ketika Rehat Separuh Masa Tular Di Media Sosial

Telah tular di media sosial ketika ini sebuah video yang menunjukkan bagaimana Bruno Fernandes meluahkan rasa kecewanya terhadap pengadil perlawanan ketika aksi perlawanan akhir saingan Europa League kemarin.

Insiden tersebut berlaku di dalam terowong ketika para pemain sedang dalam perjalanan mereka untuk kembali ke padang selepas rehat separuh masa.

Bintang Manchester United itu dilihat mempertikai keputusan pengadil perlawanan yang mengambil masa sehingga tiga minit untuk meminta bantuan VAR.

Beliau turut mengkritik Juan Foyth, dengan mendakwa pemain yang dipinjam dari Tottenham Hotspur itu banyak membuang masa dalam perlawanan tersebut.

Bruno jelas meluahkan rasa kecewa beliau terhadap mutu pengadilan dalam perlawanan akhir tersebut dan melepaskan kemarahannya dengan memaki pengadil di dalam terowong sebelum kembali ke padang.

“Pemain nombor lapan buat dua kali.”

Jelas Bruno Fernandes bercakap dengan pengadil perlawanan ketika di dalam terowong tersebut.

“Pertama sekali dia terbaring selama satu minit. Selepas itu dia dia buat lagi lepas mereka jaringkan gol.”

“Kamu menunggu terlalu lama untuk VAR. Tiga minit?”

Dalam perlawanan sama juga, Bruno Fernandes telah terlibat dalam satu insiden panas yang mana beliau didakwa menunjukkan reaksi yang keterlaluan walau dirinya tidak disentuh oleh pemain lawan.

Pada aksi babak kedua dalam perlawanan tersebut, Fernandes dilihat sedang cuba mengawal bola di sudut tepi kawasan tengah padang.

Selepas menerima bola hantaran dari rakan sepasukannya, Fernandes cuba membuat pusingan untuk membawa bola ke arah kawasan Villarreal.

Beliau ketika itu diapit oleh Etienne Capoeu dan Francis Coquelin yang masih menjaga jarak dan sama sekali tidak bersentuhan dengannya.

Dengan tiba-tiba Fernandes telah melayangkan badan seolah beliau diterjah dengan teruk dari belakang sambil menunjukkan reaksi muka yang sedang menderita kesakitan.

Hakikatnya beliau sama sekali tidak disentuh oleh kedua-dua pemain Villarreal itu, dan beliau juga sama sekali tidak tersandung kaki sendiri sebelum terjatuh.

Jadi mengapa beliau jatuh? Mengapa perlu beliau merebahkan badan seperti itu? Reaksi muka yang beliau tunjukkan seolah-olah beliau benar-benar sedang menanggung kesakitan.

Tindakan Fernandes selain dikritik teruk, ia juga menjadi sumber bahan ketawa para peminat di media sosial yang terhibur melihat beliau merebahkan badan dalam keadaan penuh dramatis itu walau tidak disentuh.

Manchester United terlebih dahulu ketinggalan pada aksi babak pertama permainan selepas Moreno membuka tirai jaringan untuk Villarreal.

Edinson Cavani berjaya menjaringkan gol penyamaan pada aksi babak kedua permainan, namun United gagal untuk melakukan rutin comeback mereka dalam perlawanan ini.

Keputusan 1-1 terikat sehingga tamat 120 minit permainan, dan pemenang harus ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Menariknya penentuan sepakan penalti yang menemukan kedua-dua pasukan ini, kesemua 22 pemain di atas padang telah melibatkan diri.

21 dari 22 sepakan penalti berjaya disudahi dengan jaringan dan hanya David De Gea sahaja yang gagal untuk menjaringkan gol.

Kegagalan De Gea telah memberikan kemenangan 11-10 kepada Villarreal seterusnya menjulang kejuaraan Europa League pertama dalam sejarah kelab.

Bruno Fernandes awalnya menangis teresak-esak mengenangkan kekalahan skuadnya, namun selepas selesai aksi perlawanan akhir tersebut, beliau telah memuat naik status di media sosial untuk membangkitkan semangat rakan sepasukannya yang lain.

“Kita menang sama-sama dan kita kalah sama-sama, ketika seseorang jatuh, kita semua gagal, ketika seseorang menjaringkan gol, kita semua jaringkan gol, ketika seseorang melakukan penyelamatan, kita semua melakukan penyelamatan… Selamanya UNITED.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.