Aksi Debut Runarsson Bersama Arsenal Dikecam Kerana Kesilapan Dungu Ini

Alex Runarsson melalui detik yang sukar untuk debutnya bersama Arsenal ketika aksi pertemuan bertemu Manchester City awal pagi tadi.

Beliau telah diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam aksi peringkat suku akhir saingan Carabao Cup.

Perlawanan yang sepatutnya kekal dalam ingatan beliau bertukar menjadi perlawanan yang perlu segera dilupakan olehnya selepas beliau melepaskan bola sepakan percuma dari Riyad Mahrez.

Penjaga gol kebangsaan Iceland yang kini berusia 25 tahun itu membuat kemunculan pertamanya dengan mengawal gawang gol Gunners, dilihat berada di kedudukan yang tepat untuk menangkap bola rembatan dari Mahrez.

Namun sayangnya, bola tersebut gagal untuk ditangkap kemas olehnya dan terlepas masuk menerjah jaring gawang gol beliau.

Ia merupakan mimpi ngeri untuk penjaga gol yang baru sahaja menandatangani perjanjian bersama Arsenal dari Dijon pada musim panas lalu.

Sayangnya lagi, gol tersebut merupakan gol yang mencetuskan kebangkitan City dan merubah perlawanan sepenuhnya.

Kedudukan ketika itu terikat 1-1 selepas City terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi tandukan padu Gabriel Jesus.

Arsenal kemudiannya berjaya peroleh jaringan penyamaan menerusi Alexandre Lacazette sebelum tamat babak pertama permainan.

10 minit selepas bermulanya aksi babak kedua permainan, Runarsson telah melakukan kesilapan yang menyebabkan gawang gol Arsenal dibolosi kali kedua.

Beliau sudah membaca arah bola sepakan percuma Mahrez dengan tepat namun sayangnya tangan beliau terlalu lembik sehingga gagal untuk menangkap kemas bola tersebut.

Aksinya itu mendapat kritikan teruk dari kalangan peminat Arsenal di media sosial dan pastinya ini bukan debut yang beliau harapkan.

City kemudiannya berjaya menambah dua lagi jaringan sebelum tamat masa sebenar permainan menerusi Phil Foden dan Aymeric Laporte.

Kebanyakkan peminat Arsenal sangat terkesan dengan keputusan kelab melepaskan Emiliano Martinez ke Aston Villa.

Penjaga gol yang membantu Arsenal menewaskan Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA musim lalu itu, kini beraksi sangat cemerlang bersama kelab barunya.

Walau bagaimanapun, tidak adil untuk meletakkan sepenuh kesalahan kepada Runarsson memandangkan aksi debutnya sendiri perlu bertemu dengan pasukan sehebat City.

Jadi semoga saja peminat Arsenal tidak begitu asyik dalam menyalahkan beliau dan tunjukkan lah rasa simpati kepadanya dengan memberi sokongan moral.

Dari salahkan debut penjaga gol itu, lebih baik pertikaikan keputusan Mikel Arteta yang menurunkan Runarsson dalam perlawanan bertemu pasukan seperti City.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.