Ajax Cemerlang Belasah Lawan 13-0 Dalam Saingan Eredivisie

Ajax berkunjung ke Covebo Stadion- De Koel, untuk bertemu dengan VVV-Venlo dalam perlawanan keenam saingan Eredivisie musim ini.

Ajax yang baru sahaja tewas kepada Liverpool dalam saingan liga Juara-juara kemarin kembali bangkit dengan kemenangan bergaya dalam saingan liga.

Skuad kendalian Erik ten Hag itu mengganas dengan membelasah VVV-VENLO 13-0 dalam perlawanan pada lewat malam tadi.

Pemain mudah berusia 19 tahun, Lassina Traore telah terlibat dalam lapan dari 13 gol yang dijaringkan oleh Ajax dalam perlawanan ini dengan menjaringkan lima gol dan mencatatkan tiga assists.

Kemenangan besar tersebut turut menjadikan Ajax pasukan pertama yang berjaya menjaringkan 13 gol dari satu perlawanan dalam saingan Eredivisie.

Ajax juga telah berjaya memecahkan rekod yang dicipta oleh mereka sendiri yang mana kemenangan terbesar yang pernah dicatatkan oleh mereka adalah ketika menewaskan Vitesse 12-1 pada tahun 1972 yang lalu.

Ajax membuka tirai jaringan pada minit ke-12 permainan menerusi Jurgen Ekkelenkamp sebelum Lassina menjaringkan gol kedua lima minit selepas itu.

Lassina Traore menjaringkan gol kedua peribadinya dan gol ketiga untuk Ajax pada minit ke-32 permainan sebelum Dusan Tadic menambah duka Venlo dengan menjaringkan gol keempat perlawanan satu minit sebelum babak pertama berakhir.

Ajax masuk ke bilik persalinan dengan begitu tenang dan yakin selepas mendahului perlawanan dengan keputusan 4-0.

Ketinggalan 4-0, Venlo semakin tertekan kerana terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Christian Kum dilayangkan kad merah pada minit ke-52 permainan.

Dua minit selepas Kum dilayangkan kad merah, Lassina Traore dengan cemerlangnya telah melengkapkan hat-trick beliau dalam perlawanan ini dengan menjaringkan gol kelima untuk Ajax.

Satu minit sahaja selepas beliau mencatatkan hat-trick, Lassina berjaya mencipta assists pertamanya dalam perlawanan ini.

Beliau cemerlang melorongkan bola ke Antony Santos untuk gol keenam Ajax sebelum Jurgen Ekkelenkamp menjaringkan gol kedua peribadinya dan ketujuh untuk kelab pada minit ke-57 permainan.

Tidak cukup dengan itu, Ajax peroleh satu lagi jaringan dua minit selepas itu menerusi Daley Blind hasil dari umpanan Lassina Traore.

Ajax cemerlang mendapatkan empat gol dalam tempoh sepuluh minit dan berjaya peroleh jaringan ke-9 mereka pada minit ke-65 permainan juga menerusi Lassina Traore.

Pada minjt ke-74 permainan, giliran pemain veteran Ajax, Klass-Jan Huntelaar menjaringkan gol kesepuluh dan beliau sekali lagi cemerlang merobek gawang Venlo dua minit selepas itu untuk gol kesebelas Ajax.

Dua minit selepas Huntelaar menjaringkan gol kedua peribadinya, Lisandro Martinez menambah perih Venlo dengan menjaringkan gol ke-12 untuk Ajax dalam perlawanan ini.

Tiga minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat, Lassina Traore menjaringkan gol kelima peribadinya dalam perlawanan ini dan gol ke-13 untuk Ajax membenam Venlo 13-0.

Ajax benar-benar berpesta gol dalam perlawanan ini dengan meratah Venlo tanpa belas kasihan.

Apa yang menariknya, pemain muda berusia 19 tahun mereka berjaya mencipta rekod peribadi dalam perlawanan ini dengan menjaringkan lima gol dan mencatatkan tiga assists dalam membantu kemenangan 13-0 Ajax menewaskan Venlo.

Ajax kini berada di kedudukan pertama dalam saingan Eredivisie dengan mengumpul 15 mata daripada enam perlawanan.

Adakah Ajax mampu untuk meneruskan kecemerlangan mereka ini di pentas liga Juara-juara nanti? Luahkan pandangan masing-masing di ruangan komen.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.