Aguero Dedah Vardy Merupakan Idola Kepada Anaknya

Anak Sergio Aguero dianggap sebagai kanak-kanak paling bertuah kerana menjadi anak kepada pemain terhebat sepanjang zaman Premier League dan juga cucu kepada legenda terhebat sepanjang zaman, Diego Maradona.

Ditambah pula ayahnya sahabat karib kepada pemenang enam kali Ballon D’or, Lionel Messi, ia jelas membuktikan Benjamin mempunyai rangkaian yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam dunia bola sepak.

Benjamin yang kini berusia 12 tahun itu dibesarkan dengan dikelilingi oleh barisan pemain-pemain terhebat di dunia.

Namun agak mengejutkan apabila mengetahui yang idola beliau dalam dunia bola sepak bukanlah Messi, Datuknya, Maradona atau ayahnya, Sergio Aguero.

Idola Benjamin dalam dunia bola sepak adalah bintang Leicester City, Jamie Vardy dan beliau bercita-cita untuk mengikut jejak langkah pemain kebangsaan England itu ketika dirinya meningkat dewasa nanti.

Dalam satu video dari siri dokumentari keluaran Amazon prime, ‘Manchester City All or Nothing’, Aguero yang bakal meninggalkan Etihad selepas 10 tahun menabur bakti bersama kelab itu telah mendedahkan bahawa anaknya sangat taksub dengan Vardy.

Bintang yang baru sahaja menandatangani perjanjian bersama Barcelona itu menegaskan bahawa anaknya mengidolakan Vardy dan mahu mengikuti jejak langkah bintang Leicester itu apabila sudah dewasa nanti.

Bintang Argentina itu pernah mencatatkan hat-trick beliau yang ke-12 bersama City ketika membelasah Leicester 5-1 pada tahun 2018 lalu, dan beliau pada ketika itu berusaha keras untuk mendapatkan jersi Vardy atas permintaan anaknya.

“Anak saya meminta ini.”

Jelas Aguero kepada kamera yang merakam mereka di bilik persalinan kelab.

“Dia mesej saya dan menyuruh saya untuk mendapatkan jersi Vardy. Dia sungguh luar biasa.”

Sangat menarik sebenarnya memikirkan hebatnya pemikiran Benjamin untuk mengidolakan bekas pemain Stockbridge Steels itu.

Vardy sememangnya antara penyerang terhebat dalam saingan Premier League, dengan beliau telah berjaya menjaringkan 118 gol dari 245 penampilan dalam saingan liga.

Vardy juga berjaya menjaringkan 39 gol ketika aksi bertemu pasukan big six dan ia merupakan satu pencapaian yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Hanya Sergio Aguero sahaja yang menjaringkan gol lebih banyak berbanding Vardy ketika bertemu pasukan big six dengan menjaringkan 54 gol.

Aguero Jr juga merupakan penyokong nombor satu PSG dan bintang Perancis Kylian Mbappe, dengan bekas bintang City itu pernah mendedahkan hal tersebut ketika sesi soal jawab di laman instagram miliknya.

“Benja selalu mengagumi David Silva dan sekarang dia banyak bercakap tentang Mbappe.”

Tulis Aguero.

“Dia suka pemain yang selalu mengawal bola dengan sangat baik.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.