Siapa sangka, ketika berumur 16 tahun, Agilan Thani adalah seorang remaja yang ‘loser’ dan tidak meletakkan apa-apa harapan pada dirinya. Beliau mengalami masalah obesiti sehingga berat badannya pernah mencecah 139 kg dan selalu dibuli oleh remaja lain seusianya. Membesar di kawasan kejiranan Sentul yang dikelilingi masalah sosial semua orang di situ mengenalinya sebagai budak gemuk yang ditinggalkan oleh ibunya.

Sehinggalah pada suatu hari beliau menonton sebuah filem dari China bertajuk Sha Po Lang yang dilakonkan oleh Donnie Yen (Ip Man), beliau mula menanam cita-cita untuk menjadi fighter.
“Aksi kungfu di dalam filem itu menarik perhatian saya, ia membuatkan saya teruja untuk mempelajari martial arts.”
“Saya mula mengkaji martial arts dan mempraktiskannya sendiri seperti yang dilakonkan oleh Donnie Yen.”
Kini, Agilan berusia 22 tahun dan tidak pernah menoleh ke belakang lagi.

Beliau menyertai kelas Brazilian Jiu Jitsu di Petaling Jaya dan berjaya menghilangkan 10 kg dalam masa tiga bulan! Pencapaian itu telah memotivasikan dirinya untuk mencuba menurunkan berat badan.
Ketika berusia 18 tahun, beliau mendapat pekerjaan sebagai cleaner di sebuah gym Monarchy MMA di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Beliau dibayar gaji sebanyak RM1000 sebulan dan bebas untuk menyertai semua kelas latihan yang diadakan secara percuma.

Sejak itu beliau telah bertambah minat di dalam MMA dan mula menyertai kelas latihan yang mengajar teknik-teknik pertarungan di dalam MMA.
“Saya mula serius dan gigih berlatih Muay Thai, Brazilian Jiu Jitsu, Boxing, dan mengamalkan diet yang sihat. Dalam masa enam bulan saya berjaya menurunkan berat badan saya dari 129 kg kepada 93 kg.”
Keazaman beliau untuk menjadi yang terbaik mendorong Agilan berpindah dari rumahnya ke gym untuk berlatih dengan lebih tekun, dan kini beliau berjaya mengekalkan berat badannya di antara 77kg ke 84 kg.
“Saya ingin bebas berdikari dan menumpukan perhatian pada latihan saya, jadi saya berpindah keluar dari rumah. Selama satu tahun saya tidur diatas ‘training mat’ di gym. Saya dibayar RM1000 sebulan, dan selepas itu saya mampu untuk menyewa sendiri di Jalan Ipoh.”
Ternyata keputusan untuk keluar dari rumah telah membawanya berjaya dan menjadi antara fighter MMA yang disegani di Malaysia.
Selain bersaing dalam pelbagai kejohanan yang dianjurkan oleh One Championship, sebuah kejohanan MMA di Singapura, Agilan juga pernah ke Amerika Syarikat, Thailand dan Vietnam untuk berlatih dan mempelbagaikan lagi teknik MMA. Rekodnya ketika ini adalah tujuh kemenangan, satu kalah, dengan tiga TKO dan empat submission.
Bagaimanapun, pada 26 May lalu, beliau telah tewas di tangan Ben Askren, pemegang tali pinggang kejuaraan One Welterweight Championship. Pertarungan itu disifatkan sebagai antara yang terbesar dalam kariernya yang dilangsungkan di Singapore Indoor Stadium. Ben yang berusia 32 tahun ternyata lebih berpengalaman dalam mengendalikan The Alligator. Beliau tewas dengan submission pusingan pertama dalam masa 2:20 minit.

Pertarungan itu dianggap sengit oleh Ben yang masih tidak tewas dalam 16 perarungan.
“Saya lakukan apa yang perlu dilakukan, saya mengikut pelan yang telah dirancang, saya berjaya menghayun penumbuk beberapa kali, tendangan, dan teknik sepakan yang pelbagai, tetapi untuk menjatuhkan beliau adalah satu kesukaran bagi saya.”
“Beliau adalah seorang fighter yang bagus, beraksi di tempat sendiri memberi keelbihan kepadanya, beliau masih muda dan ada banyak lagi ruang untuk berjaya.” Kata Ben.
Pencapaian Agilan direkodkan ke dalam video promosi untuk tontonan umum yang bertajuk ‘The Boy From Sentul.’ Ia mengandungi gambar-gambar lama beliau ketika muda dan obesiti, sesi latihannya, dan temuramah emosional bersama bapanya yang begitu bangga dengan apa yang telah dicapai oleh anaknya itu.
“Tak pernah sekalipun beliau meminta saya duit, sebaliknya beliau selalu akan bertanya Pa cukup tak duit belanja, Pa?” luah bapanya di dalam video itu.
Kasih Bapa
Agilan sangat sayang dan menghormati bapanya.
“Saya hanya ada bapa saya ketika saya membesar, banyak benda yang beliau telah ajar kepada saya, beliau sentiasa ada di samping saya ketika saya susah dan senang. Bapa saya mengajar untuk menghormati orang dan sentiasa merendah diri.”
Agilan dibesarkan oleh bapanya seorang diri selepas ibunya meninggalkan mereka ketika usia Agilan satu tahun. Bapanya bekerja sebagai pengurus di sebuah restoran dan tinggal di sebuah flat di Bandar Baru Sentul.
Ketika menyatakan hasratnya untuk menyertai MMA, bapanya sangat bimbang tentang itu.
“Bapa saya risau ketika saya memberitahunya tentang hasrat untuk menyertai MMA, beliau mahu saya sambung belajar dan mengambil jurusan komputer. Tetapi selepas kemenangan pertama saya, beliau mula datang dan memberikan sokongan kepada saya.”
Agilan berkata kalau dulu filem Donnie Yen yang memberikan inspirasi di dalam MMA, tetapi kini kasih sayang dan sokongan bapanya yang mendorong beliau untuk menjadi yang terbaik.

“Beliau sentiasa ada bersama dengan saya, sekarang masanya untuk saya membalas semula segala jasa-jasanya dan membuat beliau bangga dengan memenangi pertarungan.”
“Saya ingin menunjukkan kepada dunia ‘Boy from Sentul’ sudah tiba.