Adu Yakin Beliau Lebih Hebat Dari Di Maria Ketika Bersama Benfica

Freddy Adu menyatakan bahawa beliau merupakan pemain yang lebih hebat berbanding Angel Di Maria dan mengakui keputusannya meninggalkan Benfica merupakan kesilapan terbesar dalam hidupnya.

Bekas wonderkid yang pernah menggegar dunia bola sepak satu ketika dahulu itu, membuat penampilan pertama dalam saingan di benua Eropah bersama Benfica pada tahun 2007.

Beliau menandatangani perjanjian bersama kelab dari Portugal itu dengan nilai £1 juta dari Real Salt Lake.

Walau bagaimanapun, pemain yang pernah digelar “the new Pele” itu hanya membuat 14 penampilan sahaja bersama Benfica sebelum dipinjamkan ke empat kelab berbeza.

Pasukan pertama yang beliau sertai ketika itu adalah AS Monaco dan bermain dalam saingan Ligue 1.

Beliau kemudiannya dipinjamkan ke Belenenses, Aris dan Caykur Rizespor dan Adu akhirnya kembali ke Amerika Syarikat untuk bermain bersama Philadelphia Union pada tahun 2011.

Namun, setelah melihat Di Maria berkembang menjadi salah seorang pemain penting untuk Benfica, dan kemudiannya menjadi pemain berkelas dunia hingga berjaya cipta nama bersama Real Madrid.

Adu percaya, pemergian beliau meninggalkan Benfica merupakan sebab mengapa semuanya menjadi serba tidak kena.

“Kesilapan terbesar yang telah saya lakukan sepanjang karier saya adalah ketika meninggalkan Benfica secara pinjaman ke Monaco.”

Jelas Adu kepada The Blue Wire Podcast.

“Saya bercakap ini dari hati. Ianya merupakan salah satu sebab, seandainya saya boleh kembali, saya tidak akan melakukannya.”

“Saya ada tiga jurulatih dalam setahun bersama Benfica. Kelab ketika itu sama sekali tidak berguna dan ia menyebabkan saya mahu pergi jauh secepat mungkin.”

“Tapi, ianya menjadi keputusan yang buruk untuk saya. Saya sertai kelab di waktu yang sama dengan Di Maria. Pada tahun pertama, saya jauh lebih bagus dari dia.”

“Saya bermain lebih baik dari dia, tapi saya memutuskan untuk pergi ke Monaco sebagai pemain pinjaman. Dan Di Maria kekal di Benfica. Dan awk tahu?”

“Dia berpeluang untuk bermain bersama jurulatih yang baru dan terpilih menjadi pemain utama. Setahun atau dua tahun selepas itu dia pergi ke Real Madrid. Dan saya pula ketika itu dipinjamkan lagi untuk bersama pasukan bawahan.”

“Saya telah membuat keputusan paling buruk dalam karier saya. Ianya sesuatu yang paling saya kesalkan.”

Terpilih untuk bermain dalam saingan MLS dan menjadi penjaring gol termuda ketika berusia 14 pada tahun 2004, menjadikan Adu sebagai salah seorang bakat hebat yang bakal bersinar dalam dunia bola sepak.

Beliau kemudiannya menyertai sesi pemilihan bersama gergasi England, Manchester United pada tahun 2006, sebelum menyertai Benfica setahun selepas itu.

Kehidupan Adu selepas itu menjadi tidak tentu arah dengan beliau telah membuat penampilan bersama 15 kelab sehingga ke hari ini.

Terbaru, Adu telah menandatangani perjanjian bersama Osterlen FF dalam saingan peringkat ketiga dalam liga Sweeden pada Oktober lalu.

Sebelum itu, beliau telah terkeluar dari dunia bola sepak untuk tempoh waktu selama dua tahun selepas meninggalkan Las Vegas pada tahun 2018.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.