Adama Traore Akhirnya Dedah Sebab Tinggalkan Barcelona Yang Tidak Berakhir Dengan Baik

Debut Adama Traore bersama skuad kebangsaan Sepanyol benar-benar mencuri tumpuan dan ia adalah persembahan yang membuatkan Barcelona menyesal kerana melepaskan pemain tersebut pada 2015.

Pada usia 24 tahun, Adama menampilkan kekuatan dan skil menakjubkan persis kemampuan seorang pemain muda yang diperlukan skuad Barcelona.

Ia dibuktikan oleh pemai  itu dalam perlawanan persahabatan menentang Portugal di Lisbon selepas Adama Traore dimasukkan sebagai pemain gantian kepada Sergio Canales pada minit ke-62 perlawanan.

Salah satu larian dari pemain itu berjaya menewaskan Nelson Semedo dan mencipta peluang untuk Dani Olmo.

Pemain sayap itu berada pada tahap terbaik kariernya. Tetapi segalanya sebenarnya bermula di Barcelona. Adama membesar di La Masia dan melakukan debut untuk skuad utama pada usia 17 tahun.

Namun ketika masa semakin berlalu dan pada ketika Barcelona gah dengan gandingan Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar di hadapan, pemain seperti Adama tidak mempunyai sebarang peluang untuk mendapatkan minit perlawanan yang diperlukan.

Perkara itu didedahkan oleh Adama sendiri dalam satu temubual bersama Mundo pada 2016.

“Saya tidak meninggalkan Barcelona dalam keadaan baik,” kata beliau.

“Saya pergi kerana mereka berhenti memberikan saya peluang. Saya tidak tahu apakah perkara lain perlu dilakukan kerana mereka [Barcelona] tidak memberitahu saya apa yang akan berlaku seterusnya.”

Dan pada masa yang sama Adama juga tidak mahu mengambil langkah untuk menunggu begitu sahaja. Peluang menyertai Aston Villa pada nilai 10 juta Euro pada 2015 pantas disambar pemain itu.

“Pada musim terakhir saya beraksi di sana saya mempercayai saya sudah melakukan secukupnya untuk diberikan minit beraksi bersama paskan utama.

“Tetapi mereka meletakkan saya di dalam skuad Barcelona B, di mana saya sudah beraksi selama dua tahun sebelum itu.

“Saya mahu terus membangun sebagai seorang pemain, dan saya melihat penghijrahan adalah peluang terbaik saya untuk mencapai tahap tertinggi dalam karier.

“Saya mengharapkan seseorang dari Barcelona bercakap kepada saya dan sekurang-kurangnya menjelaskan mengapa saya tidak diberikan peluang untuk beraksi. Bukannya saya meminta perkara lain.

“Saya menghormati kelab dan mereka berhak melakukan apa sahaja keputusan, namun semuanya tidak berakhir dengan baik.”

Jika Barcelona kembali mahukan khidmatnya, ini jawapan Adama Traore:

“Mengapa tidak? Saya tidak akan kecewakan mereka,” ujar Adama pada April lalu.

“Tetapi saya juga akan pergi ke Real Madrid juga,” tambahnya lagi.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.