Peminat bola sepak tanah air dikejutkan dengan perpisahan kedua JDT dan JPD ataupun Johor Darul Takzim dan Jorge Pereyra Diaz.
Diaz dikatakan protes kepada keputusan TMJ memecat jurulatih kecergasan JDT, Fernando yang menjadi dalang kepada masalah di bilik persalinan JDT.
Dalam satu video yang dimuat naik di JST, TMJ dengan tegas menyatakan ‘tiada orang yang lebih besar daripada kelab’.
Pada akhir musim 2016, Diaz pernah disingkirkan JDT daripada pasukan untuk musim 2017 selepas beberapa isu berbangkit. Meskipun sepanjang musim 2016, Diaz menjadi nadi utama pasukan JDT.
Diaz juga menjadi pemenangn Kasut Emas Liga Super 2016 mengatasi rakan sepasukan beliau Juan Martin Lucero.
TMJ melabel Diaz sebagai pemain yang paling sukar dikawal ketika itu. Diaz menyertai beberapa kelab luar dan gagal menyerlah.
Agak mengejutkan apabila JDT memancing kembali khidmat Jorge Pereyra Diaz untuk musim 2018. Diaz membantu JDT menjulang trofi Sumbangsih dan menjaringkan 2 gol dalam kelayakan ke ACL.
Namun, hanya beberapa minggu di kem JDT, Diaz sekali lagi buat hal dan melarikan diri daripada hotel pasukan ketika JDT berada di Vietnam.
Allistair Edwards mengesahkan yang mereka menerima panggilan daripada ejen Diaz menyatakan pemain itu mahu meninggalkan JDT. Dipetik daripada laman JST, Allistair Edwards berkata:
“Kami ingin memaklumkan kepada para penyokong bahawa pemain kami, Jorge Pereyra Diaz telah meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12.00 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan AFC.”
“Ejen beliau telah menghubungi kami dan memberitahu tentang niat pemain tersebut yang ingin meninggalkan kelab. Kelab telah membuat keputusan untuk menghormati keputusan tersebut dan membiarkan beliau pergi.”
“Kami akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti.”
Sebelum itu, jurulatih JDT, Ulisses Morais meletakkan jawatan kerana isu kesihatan isteri beliau. TMJ turut menyatakan yang Diaz dan Morais juga pernah berselisih faham pada pra-musim 2018.
Berbalik kepada, ke mana destinasi seterusnya untuk Diaz? Beberapa media di Indonesia melaporkan kelab Persib Bandung antara yang berpotensi mendapatkan khidmat Diaz.
Persib Bandung kini dikendalikan oleh bekas jurulatih JDT, Mario Gomez. Gomez antara individu yang berjaya menaikkan prestasi Diaz ketika di JDT.
Ketua Editor, Football Tribe Indonesia, Isidorus Rio menyatakan:
“Diaz sebelum ini memang dikaitkan dengan Persib sebaik sahaja Mario Gomez dilantik menjadi ketua jurulatih mereka.”
“Gomez sendiri menyatakan yang nama Diaz antara pemain luar dalam senarai dikehendaki beliau. Jendela perpindahan pemain di Indonesia masih dibuka, jadi, adakah Persib akan mendaftarkan Diaz ke dalam pasukan mereka?”
Bagaimana pengakhiran drama Jorge Pereyra Diaz dan JDT ini? Buat masa ini, tiada kenyataan rasmi dibuat oleh Jorge Pereyra Diaz berhubung dengan isu ini.