Bagaikan mitos, kisah Abebe Bikila ini digarap dengan sempurna, kehadiran beliau mewarnai Sukan Olimpik dan memberikan inspirasi yang sungguh mengagumkan kepada semua, bezanya garapan ini ditulis oleh takdir keatas sepasang kakinya yang sungguh bertenaga.

Permulaan
Abebe Bikila dilahirkan pada tahun 1932 di sebuah kampung bernama Jato di North Showa, Ethiopia. Beliau membesar seperti kanak-kanak lain, bersekolah di gereja, bermain, berlari, berenang, dan menjadi lasak sesuai dengan tipikal budak kampung yang ligat.
Pada zaman remaja, beliau adalah seorang perenang yang terpantas di kampung. Beliau juga ialah seorang pemain Guna yang handal, sejenis permainan yang mirip seperti hoki dan dimainkan pada waktu krismas.
Selain itu beliau juga adalah seorang penunggang kuda yang baik. Ketika berusia 17 tahun, beliau berpindah ke ibu negara, Addis Ababa untuk menyertai unit ketenteraan diraja.
Karier

Di dalam tentera, mereka diwajibkan menyertai aktiviti sukan untuk mengekalkan kecergasan. Ini telah menyerlahkan lagi bakat Abebe di dalam sukan. Dalam satu kejohanan sukan yang menghimpunkan kesemua unit tentera darat, udara, dan laut, Abebe telah berjaya memenangi dengan catatan masa terpantas 2 jam 39 minit 50 saat.
Ini telah membuka lembaran baru untuknya apabila perkara itu mendapat perhatian dari jurulatih pasukan Olimpik Marathon Ethiopia, Onni Niskanen. Onni kemudian telah menjemput Abebe untuk menyertai sesi kelayakan bagi mengadapi Sukan Olimpik 1960.
Lagenda Tercipta

Pada awalnya Abebe telah gagal dalam ujian kelayakan itu kerana beliau telah tewas kepada Abebe Wakijera dalam sesi pemilihan. Wakijera telah dipilih sebagai atlet marathon untuk mewakili Ethiopia dalam Sukan Olimpik 1960 di Rome.
Bagaimanapun pada saat akhir Wakijera telah tercedera ketika latihan dan ini menyebabkan Abebe dipanggil semula untuk menyertai pasukan. Abebe menyertai sesi latihan dan diberikan sepasang kasut baru untuknya. Sehari sebelum pertandingan sebenar, dalam sesi latihan kaki Abebe telah melecet menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk berlari dengan berkaki ayam sahaja!
Keputusan itu mendapat tentangan dari jurulatihnya, Niskanen, kerana esok beliau akan bertanding dengan pelari-pelari hebat seperti, pemegang rekod dunia dari Russia, Sergei Popov, Abdessalem Rhadi dari Morocco, dan Barry Maggee dari New Zealand.
Abebe berkeras juga tidak mahu memakai kasut dan menyatakan beliau sudah biasa berkaki ayam sejak dari kampung lagi. Niskanen terpaksa akur dengan kehendak Abebe.
Mencuri Tumpuan

Perlumbaan bermula dari dataran Campidoglio, Abebe berada di kelompok belakang mengikuti rapat kesemua pelumba dari mula. Beliau berlari dengan tenang dan kekal fokus sehinggalah perlumbaan memasuki 10 kilometer, Abebe secara perlahan meningkatkan kelajuan dan merapati kelompok pertengahan.
Ketika memasuki 15 kilometer, beliau memulakan pecutan untuk berlari bersama kelompok hadapan.
Khalayak ketika itu cukup kagum dengan lariannya dan Niskanen mula berpeluh memerhatikan anak buahnya. Memasuki 20 kilometer, tinggal empat orang sahaja pelari yang bertahan di kelompok hadapan, mereka ialah Abebe, Rhadi, Arthur Kelly dari Brittain, dan Van Den Dreissche dari Belgium.
Mereka berlari dan bersaing sesama sendiri sehinggalah perlumbaan memasuki 30 kilometer, hanya tinggal Abebe dan Rhadi sahaja yang kekal bersaing di hadapan. Dan ketika sampai ke tanda satu kilometer terakhir perlumbaan, Abebe memulakan pecutan dan berlari laju meninggalkan Rhadi yang tidak berdaya untuk memecut.
Pecah Rekod

Abebe kemudian tiba di garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 15 minit 16 saat memecahkan rekod Olimpik yang sebelum itu dicipta pada tahun 1952 di Helsinki.
Beliau mendapat tepukan gemuruh dan sorakan kerana berjaya memenangi pingat emas marathon dengan berkaki ayam. Niskanen adalah antara orang yang paling gembira dan segera berlari memeluk Abebe meraikan kemenangannya.
Ketika ditanya oleh wartawan adakah beliau terkejut dengan kemenangan Abebe, beliau menjawab:
“Tidak, saya tidak terkejut, orang tidak mengenali Abebe seperti saya mengenali beliau. Beliau adalah seorang yang sangat kuat dan tidak takutkan cabaran. Beliau adalah seorang yang penuh keazaman dan berdedikasi. Saya tidak pernah jumpa orang seperti beliau, Abebe mencipta dirinya sendiri, bukan saya, bukan orang lain. Beliau berjaya atas usahanya sendiri. Saya di sini hanya untuk membantu beliau.”
Kemenangan Demi Kemenangan

Tahun seterusnya Abebe terlibat dalam beberapa perlumbaan antarabangsa. Beliau berjaya memenangi beberapa kejohanan dengan catatan masa yang baik. Bagaimanapun kejohanan Olimpik Tokyo empat tahun kemudian memberikan Abebe lebih kejayaan.
Perlumbaan Olimpik Tokyo disertai oleh seramai 68 atlet berkelas dunia. Antaranya ialah Ron Clark dari Australia dan Jim Hogan dari Ireland.
Mereka memulakan perlumbaan dengan mendahului kedudukan hadapan sambil diikuti oleh Abebe yang kali ini berkasut. Abebe berlari dengan penuh keselesaan memintas mereka dengan mudah .
Abebe mendapat sorakan gemuruh dari rakyat Jepun kerana beliau sudah terlebih dahulu mencipta nama di sana kerana pernah menjuarai kejohanan Manaichi di Jepun pada 1961.

Beliau kemudian dengan mudah memenangi perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 12 minit 11 saat memperbaharui rekod yang pernah dicipta di Rome. Setelah tamat perlumbaan beliau pergi ke tengah padang di dalam stadium untuk cooling down, beliau mendapat tepukan gemuruh dari penyokong di dalam stadium.
80 ribu penonton berdiri dan memberi tepukan tahniah kepada Abebe atas kemenangan yang berjaya diraih.
36 hari sebelum perlumbaan Olimpik itu Abebe telah menjalani pembedahan Appendectomy, tetapi beliau langsung tidak menunjukkan rasa sakit dan terus berlari untuk menamatkan perlumbaan itu dengan pingat emas.
Kecederaan
Pada sidang media selepas perlumbaan, Abebe dengan yakin menyatakan bahawa beliau akan memenangi Sukan Olimpik 1968 di Mexico pula kerana keadaan cuaca dan bandar Mexico City adalah lebih kurang sama dengan Addis Ababa.
Bagaimanapun kita hanya mampu merancang tetapi tuhan jualah yang menentukan. Pada tahun 1967 sewaktu sesi latihan untuk kejohanan Zarauz Marathon, Abebe telah mengalami kecederaan.
Beliau bagaimanapun bertanding juga dalam kejohanan itu tetapi gagal untuk menamatkan perlumbaan. Abebe seterusnya telah dihantar ke Jerman untuk mendapatkan rawatan oleh Raja Ethiopia.
‘Pass Baton’

Abebe tiba di Sukan Olimpik Mexico 1968 dengan harapan untuk memenangi pingat emas buat kali ketiga dalam kariernya. Beliau memulakan larian seperti biasa dengan mengikuti rapat kelompok hadapan.
Bagaimanapun di tengah perlumbaan kecederaan lamanya datang kembali. Abebe berusaha juga meneruskan larian tetapi semakin lama beliau semakin ketinggalan. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk menarik diri kerana tidak tahan dengan kesakitan yang melanda.
Sebelum menarik diri beliau telah pergi kepada rakan senegaranya yang sedang berlari, Mamo Wolde, dan berkata,
“Saya tak dapat meneruskan larian kerana kecederaan ini, sekarang tanggungjawab untuk mendapatkan emas buat Ethiopia terletak di bahu awak. Teruskan larian dan dapatkan kemenangan untuk kita!”
Dan akhirnya pada tanda 15 kilometer Abebe telah keluar dari perlumbaan. Mamo Wolde yang melihat kejadian itu seolah mendapat suntikan semangat dari Abebe, beliau berlari dan terus berlari lalu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 2 jam 20 minit 26 saat. Kemenangan itu diraikan oleh Abebe dan pasukan Olimpik Ethiopia.
Kemalangan
Pada tahun 1969, sewaktu ingin pulang ke kampungnya, Abebe telah terlibat dalam satu kemalangan ngeri. Beliau telah mengalami kecederaan yang serius. Pada waktu itu kemudahan rawatan khas untuk kecederaannya tiada di Ethiopia, menyedari perkara itu, Raja Ethiopia telah menghantar Abebe untuk mendapatkan rawatan di England.

Lapan bulan kemudian Abebe kembali ke Ethiopia dengan berkerusi roda. Kepulangannya disambut oleh peminat di lapangan terbang dengan kata-kata semangat. Bagaimanapun, keterbatasan pergerakannya tidak pernah memadam cintanya terhadap sukan.
Semasa mendapatkan rawatan di hospital Mandeville, Stoke, England, Abebe telah melatih kekuatan tangannya.
Kecekalan

Dua tahun kemudian, pada tahun 1971, dengan berkerusi roda, Abebe telah menyertai kejohanan sukan untuk orang kurang upaya yang dianjurkan di England. Beliau telah memasuki acara memanah. Dari beratus orang yang menyertai kejohanan itu, Abebe berjaya mendapat tempat ketujuh.
Pada tahun yang sama beliau menyertai pula kejohanan International Paraplegic Games di Norway. Kali ini beliau menyertai perlumbaan kereta gelongsor pula. Abebe berjaya memenangi tempat pertama dalam perlumbaan itu.
Hasil dari pencapaian beliau, Abebe telah menerima penghormatan dari seluruh dunia. Beliau mendapat sokongan dari atlet-atlet, presiden, pembesar negara dan juga rakyat jelata. Pendek kata ketika itu Abebe menjadi idola kepada seluruh dunia.
Penghormatan
Pada tahun 1972, Abebe menerima jemputan khas untuk menghadiri Sukan Olimpik di Munich. Beliau menerima standing ovation dari seluruh penyokong yang berada di dalam stadium sewaktu beliau masuk ke dalam dengan berkerusi roda.
Sebuah sambutan gala telah diadakan di perkampungan Olimpik untuk meraikan hari lahir beliau yang ke-40. Sambutan itu telah dihadiri oleh kesemua atlet, jurulatih dan pegawai-pegawai tinggi yang terlibat dalam Sukan Olimpik.
Perginya Seorang Lagenda

Abebe Bikila meninggal dunia setahun selepas itu ketika berusia 41 tahun kerana komplikasi dari kecederaan lama akibat dari kemalangan sebelum ini.
Seramai 75 ribu orang telah menghadiri majlis pengkebumiannya yang terdiri daripada keluarga, rakan-rakan, keluarga diraja, pembesar negara dan para peminat. Beliau telah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.
Selepas kematiannya sebuah stadium di Addis Ababa telah ditukar kepada namanya sebagai penghormatan kepada hero rakyat Ethiopia itu. Sekolah-sekolah di sana banyak menggunakan namanya untuk memberi anugerah kepada para pelajar yang mendapat pencapaian cemerlang.
Pada tahun 2005 sebuah pertandingan Marathon telah dianjurkan di Rome bagi mengenang kehebatan beliau di dalam sukan itu.
“Saya cuma berlari, kemenangan adalah atas izin tuhan.”
Pencapaian
Filem

BallParkFilmDistributors
Kisah lagenda Abebe Bikila pernah difilemkan. Filem bertajuk The Athlete ini telah memenangi banyak anugerah di beberapa festival filem berikutan kisahnya yang menyentuh hati dan memberi inspirasi.