Abdelhak Nouri Titis Air Mata Kegembiraan Selepas Van De Beek Sertai Man Utd

Abdelhak ‘Appie’ Nouri menitiskan air mata kegembiraan apabila rakan baiknya, Donny Van De Beek menghubunginya untuk memaklumkan telah melengkapkan perpindahan ke Manchester United.

Nouri mengalami serangan jantung dan rebah ketika beraksi bersama Ajax dalam satu perlawanan persahabatan tiga tahun lalu, menyebabkan beliau mengalami koma yang panjang.

Namun perkembangan positif bermula tahun ini, apabila Nouri dilaporkan telah mulai sedar dan boleh berkomunikasi dengan keluarganya.

Dan baru-baru ini ayah kepada Nouri, Mohammed mendedahkan reaksi anaknya selepas dimaklumkan perpindahan Van de Beek ke Old Trafford menjadi kenyataan.

Malah Nouri dan keluarganya turut akan dijemput ke Old Trafford suatu hari nanti apabila keadaan sudah pulih sepenuhnya.

“Mata Appie tiba-tiba kelihatan begitu fokus, dan kemudian air mata kegembiraan mulai mengalir di pipinya. Jelas sekali beliau terharu mendengar suara dari Donny,” ujar Mohammed kepada De Telegraaf.

“Donny sudah seperti anak kepada kami. Semua orang di rumah ini menjadi sangat emosi, kerana gembira dengan perpindahan Donny. Ia adalah hari yang sangat istimewa.

“Kami pasti akan pergi ke Manchester. Tidak semua akan pergi serentak kerana Appie memerlukan bantuan.”

Perkara sama juga berlaku apabila seorang lagi rakan seangkatan Nouri di Ajax, Frenkie de Jong menyertai Barcelona sebelum ini.

Dan selepas melengkapkan perpindahan yang boleh mencecah nilai £40 juta ke Old Trafford, Van De Beek kemudiannya memilih jersi No.34 sebagai penghormatan kepada rakannya itu.

No.34 adalah nombor jersi yang dipakau oleh Nouri di Ajax, dan pemain antarabangsa Belanda itu mengikut jejak langkah  Philippe Sandler, Amin Younes, Joel Veltman dan Justin Kluivert apabila berhijrah.

“Saya masih tertanya-tanya mengapa perkara ini berlaku kepada dia,” ujar Van De Beek kepada De Telegraaf pada tahun lalu.

“Saya tidak mahu perkara sebegini berlaku kepada sesiapa, tetapi ia selalu berlaku kepada orang baik.

“Appie sentiasa mahu yang terbaik untuk semua orang dan perkara sebegini tidak sepatutnya menimpa beliau. Ia membuatkan saya rasa lemah dan marah.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.