7 Kuda Tua Yang Dianggap Sudah Mereput Di Barcelona

Gerard Pique mahu melihat perubahan berlaku di Nou Camp. Dengan skuad yang dibarisi ramai kuda tua, kebanyakkan telunjuk kini mengarah kepada barisan pemain untuk kekalahan 8-2 memalukan kepada Bayern Munich.

Namun Pique jujur dalam penilaiannya. Tidak ada siapa pun yang kebal kali ini, termasuk dirinya.

Berikut adalah senarai 7 pemain senior yang berkemungkinan akan meninggalkan Barcelona selepas musim ini.

 

Gerard Pique

Pemain pertahanan tengah ini berkata beliau sanggup pergi meninggalkan Nou Camp untuk membenarkan pemain lebih muda dibawa masuk menyertai Barcelona.

Walaupun sudah 12 tahun di kelab tersebut, Pique masih lagi pemain pertahanan terbaik di Barcelona pada musim ini dengan 45 penampilan.

Kini berusia 33 tahun, Pique masih mempunyai kontrak selama dua tahun dan klausa perpindahan 500 juta Euro.

 

Jordi Alba

Pemain bek kiri ini sudah lama tidak berada di prestasi terbaiknya dan merupakan salah satu kelemahan utama dalam pelawanan menentang Bayern Munich.

Alba tiba di Nou Camp pada musim panas 2012, dan sejak daripada itu telah menjadi pilihan utama setiap jurulatih yang mengemudi kelab Catalan itu di bek kiri.

Alba kini berusia 31 dan telah memperbaharui kontrak sehingga 2024 pada tahun lalu. Seperti Pique, Alba juga mempunyai klausa perpindahan 500 juta Euro.

 

Sergio Busquets

Pemain pertahanan tengah ini kali pertama beraksi dengan skuad utama pada 2008 di bawah kendalian Pep Guardiola. Posisi tersebut terus menjadi miliknya sejak daripada itu.

Jujurnya tahap terbaik Busquets sudah pun berlalu sejak beberapa musim lalu, namun pemain ini masih lagi bermain secara kerap di dalam kesebelasan utama.

Musim ini sahaja, Busquets telah beraksi dalam 41 perlawanan.

Pemain brusia 32 tahun itu kini mempunyai kontrak sehingga 2023 dan mempunyai klausa perpindahan 500 juta Euro.

 

Ivan Rakitic

Hanya mempunyai baki kontrak selama setahun lagi, Rakitic telah dikaitkan dengan beberapa perpindahan pada musim panas akan datang.

Pemain berusia 32 tahun ini tidak beraksi dalam perlawanan menentang Bayern, walaupun telah tampil dalam 42 perlawanan untuk pasukannya pada musim ini.

Barcelona dilaporkan telah berusaha mencari kelab baharu untuk Rakitic sejak beberapa jendela perpindahan lalu, namun pemain Croatia itu lebih gemar untu menentukan masa depannya sendiri.

 

Arturo Vidal

Seperti Rakitic, kontrak Vidal di Nou Camp juga akan tamat pada 2021.

Pemain berusia 33 tahun ini telah bergandingan dengan baik sekali bersama Luis Suarez dan Lionel Messi sejak tiba di kelab tersebut, dan tampil dalam 43 perlawanan untuk skuad utama pada musim ini.

Barcelona pasti tidak mahu rugi, dan akan cuba menjual pemain ini pada jendela perpindahan akan datang atau tidak akan mendapat sebarang bayaran apabila Vidal pergi begitu sahaja pada musim panas akan datang.

 

Luis Suarez

Jika beliau cergas sepenuhnya, Suarez hampir pasti akan berada di dalam kesebelasan utama Barcelona.

Namun rekod kecederaan terkini yang membantut aksi Suarez di pertandingan Eropah pada musim ini menyebabkan penyokong berpendapat masanya juga telah tiba untuk Suarez.

Kontrak pemain dari Uruguay ini akan tamat pada musim panas akan datang. Namun kontrak tersebut secara automatik akan diperbaharui selama setahun lagi sekiranya beliau beraksi 60% daripada perlawanan Barcelona pada musim akan datang.

 

Lionel Messi

Pemain dari Argentina ini sekali lagi adalah pemain terbaik Barcelona pada musim ini. Namun menurut Pique, tiada siapa pun yang selamat di Barcelona kali ini.

Kontrak Messi akan tamat pada musim panas akan datang dan mempunyai klausa perpindahan berjumlah 700 juta Euro.

Majoriti penyokong Barcelona pasti sukar membayangkan Messi bakal meninggalkan Nou Camp, namun ia pasti akan berlaku juga satu hari nati.

Pemain berusia 33 tahun ini telah menjaringkan 31 gol dari 44 penampilan bersama skuad Blaugrama pada musim ini.

Rumusan

Siapakah di kalangan pemain ini yang wajib meninggalkan Barcelona pada musim panas ini?

Bincangkan.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.