Barcelona menamatkan musim 2019/20 tanpa sebarang kejuaraan. Sekadar berada di belakang Real Madrid di saingan LaLiga, impian mereka untuk meraih kejuaraan di Eropah turut berakhir dengan tragedi selepas diaibkan Bayern Munich 8-2.
Masa depan Quique Setien tampak akan berakhir selepas kekalahan tersebut, walaupun baru dilantik selaku pengurus pada Januari lalu menggantikan Ernesto Valverde.
Persoalannya, siapakah bakal menduduki kerusi panas di Nou Camp itu selepas Setien dipecat. Berikut adalah tujuh calon yang kami fikirkan boleh dipertimbangkan untuk membina kembali Barcelona.
1. Mauricio Pochettino
Mauricio Pochettino dikatakan sebagai pilihan utama oleh hierarki di gergasi Catalan itu untuk ke Nou Camp sebagai pengganti Quique Setien.
Ramai yang terkejut apabila Tottenham bertindak memecat jurulatih dari Argentina ini pada pertengahan musim.
Ini kerana pada musin sebelumnya, Pochettino cemerlang membimbing Spurs sehingga ke perlawanan akhir UEFA Champions League. Momen terbaik Spurs bersama Pochetino semestinya adalah ketika comeback menentang Ajax.
Setelah tampil konsisten di Southampton dan juga Spurs dalam tujuh musim terakhir sebelum ini, Poch layak mendapatkan pekerjaan di kelan-kelab besar Eropa.
Real Madrid dan Manchester United adalah antara kelab yang pernah dikaitkan dengan bekas pemain Espanyol ini.
2. Massimiliano Allegri
Massimiliano Allegri sempat dikaitkan dengan Manchester United pada ketika Ole Gunnar Solksjaer bergelut dengan prestasi di Old Trafford. Keadaan sudah berbeza pada hari ini.
Allegri adalah nama yang dihormati di Serie A. Sepanjang bersama Juventus, Allegri meraih lima gelaran Scudetto. Sebelum ini Allegri dikatakan mengikuti kursus Bahasa Inggeris.
Adakah beliau mensasarkan Liga Perdana Inggeris selepas ini?
3. Marco Silva
Everton tidak pernah menewaskan seteru setempat Liverpool sejak 1991 lagi. Dan pada awal musim ia turut dihiasi dengan kekalahan 5-2. Keputusan tersebut menyebabkan Everton jatuh ke zon penyingkiran dan Silva dipecat pada hari berikutnya.
Silva menyertai Everton dengan kontrak selama tiga musim pada musim panas 2018, dan memimpin kelab tersebut menduduki tangga kelapan pada musim pertamanya.
Walaupun perancangan Silva bersama Everton tidak membuahkan hasil, beliau dilihat sebagai salah seorang pengurus muda berbakat buat masa ini.
Jika Barcelona mahukan sesuatu yang baru, fresh dan segar dari pasaran, Silva mungkin adalah calon yang sesuai. Namun Silva harus tahu mengenai tekanan bekerja di kelab seperti Barcelona yang menuntut kesempurnaan.
4. Luciano Spalletti
Spalletti masih lagi belum terikat dengan mana-mana kelab sejak meninggalkan Inter Milan perrtengahan 2019. Tetapi khidmatnya sudah giat diintai beberapa kelab utama di Itali.
Menurut laporan Corriere dello Sport, Spalletti kini merupakan calon utama untuk mengendalikan AC Milan pada musim hadapan.
5. Leonardo Jardim
Jardim dipecat selepas AS Monaco hanya merekodkan satu kemenangan dari sembilan perlawanan pada Oktober. Untuk rekod, pemecatan kali ini adalah yang kedua untuk beliau bersama Monaco.
Tempoh terbaik Jardim bersama Monaco adalah apabila berjaya muncul juara Ligue 1 dan mara ke separuh akhir Champions League pada musim 2016/17. Musim berikutnya pengurusan Monaco bertindak menjual ramai pemain-pemain utama pasukan itu.
Jardim gagal membina pasukan yang baru dan gagal mencabar PSG selepas itu.
6. Maurizio Sarri
Maurizio Sarri telah dipecat sebagai pengurus Juventus walaupun berjaya mengekalkan kejuaraan Serie A berturut-turut pada musim ini.
Berita pemecatan Sarri tiba sebaik sahaja Juventus disingkirkan oleh Lyon di pusingan 16 pasukan terbaik UEFA Champions League.
Jika pengalaman yang dicari, Sarri mungkin salah seorang pengurus aktif yang boleh dipertimbangkan Barcelona.
7. Eddie Howe
Nama Eddie Howe bolehlah dianggap kerdil jika dibandingkan dengan enam calon yang lain di atas. Namun jika corak permainan, dan taktikal menarik yang Barcelona inginkan, Howe adalah pengurus yang dianggap sebagai calon dengan kriteria serba lengkap untuk Barcelona.
Sebelum ini Eddie Howe telah bertindak meninggalkan Bournemouth selepas mencapai persetujuan bersama ekoran penyingkiran dari Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.
Pengurus warga England dan baru berusia 42 tahun, Howe telah membimbing The Cherries sejak lebih sedekad lalu telah mengendalikan lebih 450 perlawanan.
Selama ini Howe mengendalikan Bournemouth yang sering bergelut dengan kewangan untuk melakukan pelaburan pemain baharu. Bayangkan jika Howe memiliki set pemain yang jauh lebih baik secara teknikal.
Sir Bobby Robson adalah pengurus berbangsa Inggeris terakhir pernah mengendalikan Barcelona pada musim 1996/97.
Penutup
Siapakah seterusnya yang akan bergelar pengurus dan jurulatih baharu Barcelona?
Calon-calon yang kami pilih di atas juga hanya terdiri aripada mereka yang tidak mempunyai kelab dan boleh dilantik bila-bila masa, memandangkan musim baharu akan bermula bulan hadapan.
Anda punyai calon lain untuk diketengahkan. Bincangkan.