6 Pasukan Termasuk Kelantan Diintai Jutawan Dan Syarikat Antarabangsa

Siapa yang kata pasukan Liga Malaysia tidak laku? Sekurang-kurangnya enam pasukan di saingan Liga Malaysia kini dilaporkan sedang dirisik oleh jutawan dan syarikat dari luar negara untuk tujuan pemilikan.

Langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar semua pasukan Liga Malaysia yang bernaung di bawah persatuan negeri diubah menjadi kelab, bermakna pasukan-pasukan tersebut harus memiliki pemilik.

Antara yang menarik perhatian pelabur tersebut ialah pasukan pantai timur Kelantan.

Melalui laporan oleh Arena Metro pada hari ini, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Hussin Deraman mengesahkan sebuah syarikat dari luar negara telah menunjukkan minat untuk mengambil alih pasukan itu pada musim hadapan.

Bagi Hussin, perkara itu agak mengejutkan mengambil kira masalah yang dihadapi oleh KAFA sejak beberapa musim lalu terutama dari aspek kewangan.

Tidak ketinggalan dirisik, ialah juara Piala Malaysia 2018, Perak. Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Mohamad Azlin Mohd Nadzri sudah ada beberapa pihak tampil melakukan risikan untuk tujuan pengambilalihan.

Namun buat masa ini masih terlalu awal untuk sebarang perbincangan ke arah itu.

Kuala Lumpur pula difahamkan sedang menapis beberapa syarikat yang telah menyatakan minat untuk menjadi pemilik skuad ibu kota itu pada musim akan datang.

”Ada individu jutawan yang menyatakan kesediaan untuk mengambil alih Kuala Lumpur namun setakat ini tiada lagi kata putus kerana perlu melihat kepada terma dan syarat yang dipersetujui bersama nanti,” katanya.

Selain daripada Kelantan, Perak dan Kuala Lumpur, Arena Metro turut melaporkan Kedah, Melaka dan Pulau Pinang adalah antara tiga lagi pasukan yang turut sedang diintai oleh beberapa pihak untuk tujuan sama.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.