5 Sebab Lilitan Kapten Maguire Harus Dilucut Oleh Solksjaer

Pemain pertahanan paling agung dunia telah bergaduh dengan pelancong daripada British diluar sebuah bar di MyKonos, sebuah pulau di Greece dan pergaduhan itu kemudiannya membabitkan pihak polis.

Maguire dilaporkan turut mengeluarkan jurus petala langit untuk melawan pihak polis secara lisan dan fizikal selepas pihak polis cuba masuk campur dalam pergaduhan itu.

Berita ini telah tersebar dengan jayanya melalui akhbar tempatan Greece protothema dengan kejadian yang terjadi pada pagi Jumaat itu.

Persoalannya, apakah yang Manchester United akan lakukan terhadap kapten pencipta ‘No Look Defending’ mereka ini?

Berikut adalah 5 sebab mengapa Ole Gunnar Solksjaer dan Manchester United harus melucutkan lilitan kapten sebagai denda dan peringatan.

1. Imej kelab

Perkara pertama dan yang terutama ialah insiden pergaduhan sehingga memaksa campur tangan polis sudah pasti memberi imej yang buruk kepada kelab.

Setelah gagal menjuarai sebarang kejuaraan sejak tiga musim yang lalu, pendapatan Manchester United dijana kebanyakkannya oleh tajaan syarikat koporat dari seluruh dunia.

Maguire adalah kapten United. Secara tidak langsung insiden sebegini memberi imej buruk terhadap kelab di mata penaja.

 

2. Etika dan profesionalisme

Sebenarnya ia bukan satu isu untuk seorang pemain bola sepak profesional bersuka ria. Namun ia harus dilakukan dengan beretika dan profesional.

Sebagai pemain profesional Maguire adalah idola peminat, khususnya dari kalangan penyokong Manchester United.

Apa yang mereka fikirkan apabila pemain harapan dan pemain pertahanan termahal dunia masuk ke dalam pub, mabuk dan bergaduh ketika diberikan cuti?

Mungkin Maguire harus belajar dari pemain seperti Rashford atau McTominay yang sering menggunakan cuti untuk melakukan latihan tambahan.

 

3. Lead by example

Seorang kapten haruslah menjadi contoh yang baik di kalangan rakan sepasukannya yang lain. Apatah lagi untuk pasukan seperti Manchester United yang mempunyai ramai bakat muda.

Namun aksi di atas padang tidak memberikan gambaran yang kita harapkan.

Walaupun ketibaan Maguire berjaya membantu menambah baik bahagian pertahanan United, pemain antarabangsa England ini tetap tidak lari dari melakukan kesilapan.

Sering menjadi bahan jenaka lawan dan kritikan penyokong sendiri, kesilapan oleh Maguire adakalanya terlalu mudah dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemain pertahanan termahal dunia.

 

4. Bruno Fernandes

Sejak ketibaan Bruno Fernandes di Old Trafford, pemain antarabangsa Portugal ini pantas menjadi idola dan kegemaran peminat.

Ia tidak menghairankan. Fernandes memikat setiap orang di Old Trafford bukan sahaja dengan prestasi di atas padang, malah juga dengan auranya di bilik persalinan.

Perkara itu diakui oleh Maguire sendiri. “Anda semua boleh lihat bagaimana ia dilakukan sejak Bruno tiba di sini. Beliau mempunyai personaliti yang besar dan aura juga aura luar biasa,” kata bekas pemain Leicester City itu.

Berbanding Maguire, sikap kepimpinan Bruno Fernandes sebenarnya lebih menyerlah berbanding Maguire.

Pernah nampak Maguire tegur kawan sendiri sebab buat kesilapan? Tak pernah bukan. Sebab tu Lindeloff terkejut bila ditegur Bruno. Sebab selama ni Maguire tak pernah tegur. Kapten mende woi.

 

5. Autoriti Solksjaer

Sebagai pengurus Ole Gunnar Solksjaer harus menunjukkan autoriti sebagai pengurus dengan mengambil tindakan sewajarnya.

Melucutkan lilitan kapten dan mendenda pemain itu memberikan isyarat jelas kepada pemain-pemain lain dan penyokong, bahawa Solksjaer hanya mahukan serious business.

Tidak dinafikan Solksjaer berjaya memberikan kestabilan kepada skuad United pada separuh musim kedua. Namun Solksjaer tidak boleh membiarkan projek yang beliau ingin bina musnah begitu sahaja kerana satu insiden.

Mengenai mendisiplinkan pemain, Solksjaer sudah tentu sudah banyak belajar dari pengalaman ketika beliau berada di bawah kendalian Sir Alex Ferguson ketika bergelar pemain.

Penutup

Apa pendapat penyokong United? Anda mahukan Maguire dikekalkan? Atau anda mahukan seorang kapten yang mampu United memenuhi aspirasi ‘Next Year is Our Year’?

Anda tentukan.

 

Pesanan penaja: Jangan biarkan Manchester United miliki kapten yang tak pernah julang trofi EPL.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.