5 Kontroversi Berkaitan Penalti Yang Membingungkan Dunia Bola Sepak

Terjahan keras penjaga gol Everton, Jordan Pickford terhadap pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil van Dijk nampaknya telah membuatkan dunia bola sepak gempar.

Walaupun adanya teknologi seperti VAR pada hari ini, kgagalan pegawai mengendalikan teknologi tersebut David Coote untuk melakukan reviu terhadap terjahan Pickford kepada Van Dijk menyebabkan Liverpool berang.

Sumber kepada ESPN berkata pihak kelab akan memanjangkan insiden tersebut dan memohon penjelasan rasmi dari Lembaga Pegawai Perlawaan Proesional/Professional Game Match Officials Board (PGMOL) — badan yang mengendalikan pengadil dan VAR di Premier League.

Di mata dan sebagao pengadil pula, cabaran utama untuk memberikan penalti adalah kerana harus mempertimbangkan sama ada ia wajar diberikan.

Ada kalanya pemain kuat berlakon. Atau di dalam kes Van Dijk-Pickford, pemain pertahanan Belanda itu didakwa terlebih dahulu berada di dalam posisi offside.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama isu kontroversi di dalam kotak penalti berlaku. Bezanya dahulu, VAR belum wujud.

Di sebalik penambahbaikkan ini, bola sepak dunia turut pernah menyaksikan keputusan pengadil yang tidak masuk akal berkaitan pemberian dan sepakan penalti?

Berikut adalah lima diantaranya yang masih membingungkan ramai walaupun peraturan sudah kerap kali digubal – dan berkemungkinan akan berlaku lagi pada masa depan.

Dalam 5 kes seperti di bawah, ada kontroversi melibatkan kekasaran, pengadil tertipu oleh pemain, atau pengadil itu sendiri yang memusykilkan.

1. Belanda vs Portugal (2006)

Perlawanan pusingan kedua Piala Dunia 2006 menemukan Belanda dan Portugal dianggap luar biasa kerana jumlah layangan kad kuning kepada pemain dari kedua-dua pasukan.

4 kad merah, 16 kad kuning dilayangkan oleh Valentin Ivanov, pengadil dari Rusia dalam perlawanan ini sehingga Presiden FIFA ketika itu, Sepp Blatter berkata, pengadil juga berkemungkinan turut menerima kad kuning dalam perlawanan.

Di sebalik jumlah layangan kad yang tinggi, ianya agak pelik mengapa Valentin tidak menghukum Nuno Valente yang menghulur kaki ala sepakan kungfu Eric Cantona ke arah dada Arjen Robben – di dalam kawasan kotak penalti!

Luis Figo pula sekadar menerima kad kuning kerana menanduk Mark van Bommel selepas itu.

 

2. Dundalk v Derry City (1988)

Kontroversi melibatkan sepakan penalti tidak hanya akan mendapat perhatian di kejohanan antarabangsa atau pertandingan peringkat tertinggi sahaja.

Pada 1988 perlawanan akhir Piala FA Ireland dimenangi oleh Dundalk F.C dengan jaringan 1-0 ke atas Derry City F.C. Kalah menang perkara biasa. Tetapi cara perlawanan ini dimenangi mengundang kontroversi.

Dundalk menang disebabkan penalti yang diberikan hanya kerana ada sedikit ‘contact’ yang lebih lembut daripada kulit bayi – telah menimbulkan banyak persoalan.

Pemain Dundalk, Larry Wise menerima hantaran dari sebelah kanan kotak penalti lawan. Tindakan Martin Bayly yang hanya menyentuh lengan Wise, menyebabkan pengadil tidak teragak-agak, tidak berfikir dua kali, meniupkan wisel dengan untuk memberikan penalti.

Tak percaya, saksikan rangkuman video di bawah:

3. Brisbane Roar vs Perth Glory (1982)

Ini mungkin pemberian sepakan penalti paling teruk sepanjang zaman. Brisbane Roar diberikan sepakan penalti oleh pengadil kerana salah seorang pemain mereka sendiri tersalah sepak bola, sebelum terjatuh.

Besart Berisha, pemain yang didakwa dijatuhkan bagaimanapun meraikan pemberian penalti itu seolah-olah beliau telah dibentes dengan teruk oleh pemain pertahanan lawan! Luar biasa?

Berisha menyempurnakan penalti tersebut, dan Perth Glory tidak mampu bangkit kembali dalam perlawanan akhir A-League Grand Final itu.

Pada pendapat kami, jelas sekali pengadil perlawanan, Jarred Gillett telah melakukan kesilapan.

4. Manchester United vs Manchester City (1996)

Derby Manchester sentiasa menjadi tumpuan warga bola sepak walaupun sebelum Manchester City diambil alih oleh jutawan Abu Dhabi.

Tetapi insiden ini membuatkan pemain kedua-dua pasukan terpinga-pinga dengan tindakan pengadil yang apabila tiba-tiba memberikan sepakan penalti kepada United.

Bermula dari sepakan Ryan Giggs, yang gagal menemui sasaran, Michael Frontzeck dilihat seperti memegang Eric Cantona- namun tidak ada perkara yang serius berlaku.

Kemudian pengadil menganugerahkan penalti. Apa yang berlaku?

Tidak kira berapa kerap anda cuba menilai video ulang tayang perlawanan, anda pasti tercari-cari di manakah kekasaran atau kesalahan pemain yang dimaksudkan pengadil.

5. Jerman vs Perancis (1982)

Ini adalah salah satu antara kekasaran terburuk yang pernah berlaku di dalam bola sepak, tetapi terlepas dari hukuman pengadil.

Insiden kekasaran di dalam kotak penalti Jerman itu berlaku apabila penjaga gol, Harald ‘Toni’ Schumacher melakukan rempuhan berbahaya terhadap pemain Perancis, Patrick Battiston.

Kesan rempuhan tersebut, Battiston terpaksa diusung keluar dalam keadaan tidak sedarkan diri!

Pemain tersebut turut mengalami patah gigi dan tulang vertebra dan terpaksa mendapat bantuan oksigen ketika rawatan.

Rakan sepasukan, Michel Platini kemudiannya berkata beliau ingatkan Battiston telah mati – kerana tidak menunjukkan nadi selepas rempuhan. Anehnya Schumacher bersikap seolah-olah tindakan beliau itu adalah perkara biasa.

Dan anda pasti tertanya-tanya. Mana penalti?

Rumusan

Kami percaya ada banyak lagi sepakan penalti yang meragukan, atau pun keputusan yang tidak memihak kepada pasukan walaupun jelas ianya adalah sepakan penalti.

Bagaimana anda mahu menjelaskan kekasaran seperti yang berlaku terhadap Patrick Battiston? Atau pun penalti yang diberikan kepada Manchester United secara tiba-tiba dalam perlawanan derbi?

Kesimpulannya ialah berapa kerap peraturan digubal sekali pun, manusia tetap melakukan kesilapan. Malah VAR sendiri pun adakalanya boleh mengelirukan kita. Van Dijk bukan yang pertama. Bukan juga yang terakhir akan menjadi mangsa

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.