Hoki padang dianggap antara sukan yang paling teknikal dan taktikal di dunia. Seorang pemain hoki padang perlu membawa kayu hoki bersama mereka, berlari dan cuba untuk mengawal bola berdiameter kecil.
Seperti sukan lain, aspek paling penting adalah skor ataupun gol. Jadi, untuk menjaringkan gol ini, seorang pemain hoki perlu melakukan cubaan gol dengan teknik pukulan yang berbeza.
Aspek ruang, masa dan peluang ditambah dengan teknik pukulan yang betul antara perkara yang ditikberatkan ketika melakukan cubaan gol di dalam sukan hoki.
Jom kenali jenis-jenis pukulan ‘shot’ di dalam hoki. Kami bawakan antara 4 teknik pukulan gol dalam sukan hoki padang.
1. Drives
Ini adalah pukulan yang paling biasa dalam sukan hoki untuk menjaringkan gol. Tekniknya sangat asas, di mana kedua-dua tangan memegang bahagian atas kayu hoki.
Dengan fokus kepada bola, pemain akan memukul bola dengan kayu dihayunkan dari belakang ke hadapan. Semakin tinggi kayu diangkat ke belakang sebelum dihayun ke hadapan, semakin kuat daya pukulan.
Teknik ini memerlukan kedudukan badan yang sesuai untuk memastikan anda tidak terlepas pukulan ataupun miss hit.
2. Kuisan (flick shot)
Teknik menguis bola ini lebih kepada ‘trick’ untuk menewaskan penjaga gol dengan menyungkit bola ke udara. Teknik ini sangat penting untuk menjaringkan gol ketika pemain terkepung ataupun penjaga gol sudah meluru ke hadapan.
Biasanya bola akan diseret dalam beberapa saat sebelum kuisan dibuat. Latihan berterusan diperlukan. Ia memang sukar tetapi, selepas seseorang pemain itu menguasainya, mereka akan menjadi ancaman paling bahaya di dalam padang.
Ini kerana dengan teknik ini, pemain ada lebih manipulasi ke atas arah sasaran bola mereka. Ia juga kerap menjadi teknik pilihan para pemain untuk melakukan cubaan gol menerusi sudut penalti.
3. Slap shot
Slap shot adalah pukulan yang paling kuat di dalam hoki. Ini juga merupakan teknik pukulan yang paling digemari oleh pemain-pemain hoki profesional. Namun ia perlu dilakukan pada masa dan ruang yang sesuai.
Jadi, apabila ada kesempatan untuk melakukannya, para pemain hoki akan cuba melakukannya segera. Kayu dihayun hampir mendatar dengan padang.
Teknik ini akan menghasilkan cubaan gol yang sukar untuk diselamatkan oleh mana-mana penjaga gol. Ia juga antara teknik yang kerap digunakan di dalam pukulan sudut penalti.
Teknik ini bergantung kepada kekuatan pergelangan tangan. Pastikan pukulan dilakukan ketika jarak yang sesuai, mengambil kira jarak pemain lain di sekitar anda.
4. Pukulan backhand
Teknik ini mirip kepada aksi seorang pemain tenis yang melakukan pukulan backhand. Ianya biasa dilakukan oleh pemain yang mahu mengatasi pukulan lemah pada sudut lemah.
Dengan teknik backhand, mereka secara tidak langsung menggunakan tangan utama mereka sebagai tangan dominan untuk menghayun kayu hoki di kedudukan tangan lemah.
Teknik pukulan ini sangat berkesan untuk pemain yang kehilangan keseimbangan atupun bola semakin lari ke sudut sukar. Ia juga dikenali sebagai reverse shot.
Rumusan
Itulah antara 4 teknik shot di dalam sukan hoki padang. Setiap jenis pukulan perlu dikuasai oleh para pemain untuk memastikan mereka tidak terlalu bergantung kepada satu teknik sahaja.
Seorang penyerang hoki perlu bersedia dengan aspek seperti permukaan padang, keupayaan penjaga gol yang bakal mereka hadapi.
Seterusnya adalah aspek latihan yang memfokuskan kepada sasaran. Perbaiki aspek sasaran anda dengan mulakan ia dengan berlatih secara individu. Kemudian kembangkan corak latihan kepada latihan dalam keadaan seperti dalam perlawanan sebenar.
Anda ada tambahan? Boleh kongsikan dengan kami.