4 Kelab Yang Mampu Jadi ‘Kuda Hitam’ Di Premier League 2020/21

Musim baharu saingan Liga Perdana Inggeris akan bermula pada hari ini. Kami yakin ramai yang rindu dengan bola sepak Inggeris. Apatah lagi ianya sering diwarnai dengan drama dan permainan kompetitif menarik menampilkan ramai pemain terbaik dunia.

Liverpool dan Manchester City dicanang sebagai pilihan untuk juara pada musim ini. Kelab seperti Chelsea dan Manchester United pula dilihat mampu mencabar.

Empat kelab seterusnya ini pula kami anggap sebagai ‘kuda hitam’ yang mampu melakar kejutan pada musim ini.

Arsenal

Kelab pertama yang menjadi pilihan sebagai kuda hitam adalah Arsenal. The Gunners pernah mendominasi saingan di Premier League satu ketika dahulu, namun prestasi kelab London ini begtu merosot sejak 5 sehingga 10 tahun lalu.

Namun demikian ketibaan Mikel Arteta sebagai pengurus sedikit sebanyak telah mulai mengubah landskap bola sepak di Emirates.

Pada akhir musim lalu, Arsenal mampu menghasilkan beberapa permainan menarik sehingga mampu menumbangkan Chelsea dan Liverpool, termasuik di perlawanan Perisai Komuniti.

Arteta akhirnya dilihat berjaya mengawal bilik persalinan. Pemain yang didatangkan pada era Unai Emerti seperti Ainsley Maitland-Niles dan David Luiz juga kelihatan mulai bangkit.

Dan perkara terpenting ialah Arteta mampu mengembalikan bisa penyerang dar Gabon, Pierre -Emerick Aubameyang yang akan menghantui setiap pertahanan lawan pada musim akan datang ini.

Everton

Kejayaan meyakinkan Carlo Ancelotti – jurulatih yang dianggap amat berpengalaman – dianggap langkah berani oleh Everton. Ancelotti sebelum ini pernah melakar kejayaan bersama Real Madrid, AC Milan, dan Chelsea.

Sering dibayangi seteru setempat Liverpool, Everton adalah sebuah kelab yang sering kali menduduki tangga pertengahan liga.

Musim ini Everton bercita-cita untuk pergi lebih jauh dengan sasaran menamatkan saingan sebagai empat pasukan teratas liga.

Sesuai dengan cita-cita tersebut pemain seperti Allan, James Rodriguez dibawa masuk dan akan digandingkan dengan Abdoulaye Doucore akan menjadi tunjang mereka pada musim ini.

Wolves

Dalam dua musim terakhir sejak mendapat promosi ke Liga Perdana Inggeris, Wolves berhasil menunjukkan konsistensi mereka untuk berada di kedudukan 10 teraaras liga. Musim lalu mereka beraksi di Eropah dan impian itu pasti menjadi sasaran mereka sekali lagi pada musim ini.

Masih mengandalkan khidmat jurulatih Nuno Espirito Santo, ada sebab mengapa Wolves digelar sebagai ‘Mini Portugal’ – dengan ramai pemain berpengalaman dan pasukan kebangsaan negara tersebut berada di dalam pasukan.

Bahagian serangan Wolves akan diketuai oleh Adama Traore dan Raul Jimenez. Gandingan Ruben Neves dan Joao Moutinho pula akan memperkuatkan jentera tengah. Ini menjadikan Wolves sebagai kuda hitam paling mengerikan di Liga Perdana Inggeris oada musim ini.

Ketibaan ‘wonderkid’ Sepanyol, Fabio Silva pula meneruskan legasi Portugal dalam diri Wolves.

Tottenham Hotspur

Tottenham Hotspur pernah menjadi pencabar namun belum pernah mengecapi kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Dan kami yakin pemilihan Jose Mourinho sebagai pengurus pada pertengahan musim lalu menggantikan Mauricio Pochettino juga bersebab.

Ini kerana Tottenham sudah lelah bergelar pencabar dan mahu bergelar sang juara. Mourinho pula adalah seorang pengurus yang memiliki profil untuk membawa trofi kemenangan ke kelab mana pun beliau sertai.

Chelsea misalnya bergelar juara Liga Perdana Inggeris ketika dikendalikan oleh beliau. Begitu juga dengan  Manchester United yang memenangi dua trofi ketika era jurulatih dari Portugal ini.

Sehingga kini Mourinho telah merekrut tiga pemain berpengalaman iaitu Joe Hart, Matt Doherty dan Pierre-Emile Hojbjerg untuk menambah kekuatan Tottenham Hotspur. Tiada siapa yang berani memandang rendah kekuatan Spurs pada musim ini.

Apatah lagi jika gandingan Son Heung-Min dan Harry Kane berada di kemuncak prestasi.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.