3 Sebab Real Madrid Batal Niat Beli Van De Beek

Donny van de Beek telah diumumkan sebagai pemain Manchester United baru-baru ini. Sebelum itu pemain antarabangsa Belanda ini dilaporkan amat hampir untuk menyertai Real Madrid.

Namun demikian, perpindahan Van de Beek ke Santiago Bernabeu tidak pernah menjadi kenyataan.

“Semuanya sudah tersedia untuk menyertai Real Madrid dan kedua-dua kelab juga sudah mencapai persetujuan.

“Namun atas sebab-sebab tertentu, perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan,” kata Van de Beek kepada media Inggeris selepas melengkapkan perpindahan menyertai United.

Tidak ada pihak yang mendedahkan punca sebenar Van de Beek tidak menyertai Real Madrid. Namun secara realiti ada tiga sebab utama mengapa Real Madrid membatalkan niat untuk membeli pemain itu.

Kebangkitan luar biasa Fede Valverde

Kebangkitan luar biasa prestasi pemain muda, Fede Valverde adalah salah satu sebab utama Real Madrid tidak lagi memerlukan pemain seperti Van de Beek.

Valverde pantas menjadi pemain kegemaran Zinedine Zidane, dan pemain antarabangsa Uruguay itu mempunyai banyak persamaan dari segi peranan, posisi dan kekuatan dengan pemain dari Belanda itu.

Malah sejak ketibaan kedua Zidane, keberadaan Valverde seperti suntikan pemain baharu untuk Los Blancos.

Adanya Martin Odegaard

Real Madrid telah melabur dengan banyak untuk mendapatkan bakat muda terbaik dari seluruh dunia sejak beberapa musim yang lalu.

Dan langkah oleh Real Madrid itu seperti sudah mulai membuahkan hasil jika pemain seperti Martin Odegaard dijadikan ukuran.

Seperti Valverde, prestasi Odegaard yang dipinjamkan beraksi bersama Real Sociedad meyakinkan Real Madrid mereka tidak memerlukan khidmat Van de Beek.

Pemain muda dari Norway itu amat menyerlah sepanjang tempoh pinjaman sehingga dipanggil balik ke dalam skuad utama Los Blancos untuk saingan musim 2020/21.

Krisis akibat pandemik

Real Madrid adalah kelab yang sering dilabel sebagai ‘galaticos’ kerana kecenderungan mereka untuk membeli pemain-pemain terbaik dunia.

Namun strategi tersebut nampaknya mulai berubah pada musim ini setelah pandemik yang melanda dunia turut menjejaskan ekonomi kebanyakkan kelab bola sepak di seluruh dunia.

Los Blancos kini dilihat lebih gemar menggunakan sumber dalaman yang mereka ada dan mengelak daripada menabur duit semata-mata kerana nama.

Penutup

Secara keseluruhan ia adalah langkah yang bijak daripada Real Madrid.

Lebih menarik ialah bagaimana Zidane mulai mempercayai khidmat pemain muda yang mereka miliki.

Projek yang mereka mulakan sejak beberapa musim lalu dengan melakukan pelaburan besar terhadap pemain muda juga mulai membuahkan hasil.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.