2 Gol Oleh Messi Tamatkan Saga Perpindahan Terbesar Dunia Bola Sepak Selamanya?

Lionel Messi menghadirkan impak segera selepas kembali ke dalam kesebelasan utama Barcelona dengan menjaringkan dua gol untuk menewaskan Girona 3-1 dalam satu perlawanan persahabatan.

Salah satu gol tersebut dijaringkan dengan penuh sensasi dari luar kotak penalti menggunakan kaki kanan yang lebih lemah.

Pemain berusia 33 tahun itu mulai menampilkan prestasi terbaiknya bakal kembali selepas turut menghasilkan satu hantaran sempurna untuk Francisco Trincao dalam gerakan menghasilkan gol pertama menentang Girona.

Dan Messi sendiri menamatkan saingan babak pertama dengan cemerlang apabila melebarkan kelebihan buat Barcelona dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Johan Cryuff itu.

Setelah menerima bola di luar kawasan penalti dari sepakan sudut, Messi kemudian menggunakan kaki kanan nya melakukan rembatan padu kak kanan yang mengena tiang di bahagian far post sebelum menerjah jaring.

Penyokong setia Barcelona sudah pasti memuji kesungguhan Messi, apatah lagi selepas pemain itu mengejutkan ramai dengan menghantar surat tuntutan perpindahan pada awal bulan ini sebelum melakukan u-turn.

Persaoalannya, adakah dua gol oleh Messi dalam perlawanan ini cukup untuk memberi indikasi adakah saga perpindahan yang dianggap terbesar dalam sejarah bola sepak dunia ini sudah pun berakhir?

Kronologi kes

Badan pengendali bola sepak Sepanyol tempoh hari mengesahkan bahawa Barcelona adalah betul ketika mereka meminta €700 juta untuk mana mana pasukan yang mahukan Messi.

Itu adalah nilai klausa pelepasan yang ada pada Messi. Walaupun pemain itu dikatakan mahu menebus kontrak secara percuma.

Messi mahu menebus kontrak percuma kerana ada satu klausa khas.

Barcelona berkeras mahukan €700 juta dan membuatkan Messi melantik peguam untuk mengaktifkan klausa tersebut.

Kenyataan terbaru oleh La Liga mengesahkan bahawa berita Messi mahu menebus kontrak secara percuma adalah laporan yang berasas.

Messi ada klausa khas yang membenarkannya pergi secara percuma pada akhir musim selepas beliau berusia 32 tahun.

Klausa itu boleh diaktifkan oleh Lionel Messi sejak musim lalu lagi.

Dan pada musim panas 2019, Messi memutuskan untuk tidak mengaktifkannya dan memilih untuk kekal di Barcelona.
Namun klausa itu masih aktif pada akhir musim ini dan sepatutnya digunakan pada Jun.

Bulan ini dah Ogos. Namun Marca ada kemungkinan Messi boleh menggunakan klausa itu kerana musim sudah berakhir.

Selain itu Messi sudah setuju untuk bermain sehingga Ogos. Dan itu antara alasan yang akan digunakan Messi untuk menebus klausa tersebut.

Mana mungkin Lionel Messi pergi pada bulan Jun yang lalu kerana Barcelona memerlukan beliau untuk mengharungi baki saingan liga dan kemudian Liga Juara Juara Eropah.

Musim ini memang kalendarnya tidak seperti musim kebiasaannya, selepas dunia dilanda wabak.

Marca melaporkan Messi sudah menghantar faks yang menyatakan bahawa beliau mahu meninggalkan Barcelona dengan mengaktifkan klausa tersebut.

Marca juga menyatakan pemanjangan tempoh klausa itu aktif adalah sejajar dengan musim yang dilanjutkan.

Dengan cara itu, Messi boleh berpindah ke kelab lain secara percuma. Barcelona terus mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan dengan situasi Lionel Messi.

RAC1 melaporkan bahawa Messi telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Koeman.

Koeman sudah menyatakan beliau mahu menjadikan Messi tunjang kepada projeknya. Namun Messi pula dilaporkan lebih memilih untuk keluar pada kali ini.

Kerana keluarga

Walaupun jelas marah kerana tidak dapat meninggalkan Nou Camp pada musim panas ini, jelas sekali kemarahan Messi sebenarnya adalah kepada pihak pengurusan, dab bukan terhadap kelab secara khusus.

Pemain yang digelar La Pulga itu menyatakan bahawa dia sedar bahawa mustahil untuk beliau pergi meninggalkan Barcelona dengan klausa pelepasan €700 juta musim ini.

Messi menafikan kekalahan memalukan kepada Bayern Munich sebagai sebab utama beliau mahu pergi.

Tetapi menyatakan bahawa ada banyak perkara yang berlaku sejak akhir akhir ini membuatkannya bercelaru dan merasakan sudah tiba masanya beliau mahu pergi.

Menerusi satu wawancara eksklusif dengan Goal, Messi mengakui keluarganya sangat terkejut ketia dia menyatakan bahawa dia akan meninggalkan Barcelona.

“Ketika saya menyampaikan keinginan untuk pergi kepada isteri dan anak-anak saya, itu adalah drama yang kejam.”

“Seluruh keluarga saya mulai menangis, anak-anak saya tidak ingin meninggalkan Barcelona, mereka juga tidak ingin pindah sekolah,” kata Messi.

“Anak saya, keluarga saya, mereka membesar di sini dan berasal dari sini. Tidak ada yang salah dengan keinginan untuk pergi. Saya memerlukannya, kelab perlukannya dan itu adalah yang terbaik untuk semua orang.”

“Isteri saya, dengan semua rasa sakit di jiwanya , menyokong dan menemani saya,” tambah beliau lagi.

“Mateo masih kecil dan dia tidak tahu lagi apa ertinya pergi ke tempat lain. Thiago, dia lebih tua. Dia mendengar sesuatu di TV dan dan bertanya.”

“Dia menangis dekat saya dan berkata ‘jangan pergi’. Saya ulang! bahawa itu adalah sangat sukar.”

“Itu terjadi pada saya. Sangat sukar untuk membuat keputusan,” katanya.

“Tapi saya melihat lebih jauh dan saya ingin bersaing di level tertinggi, memenangi gelaran, bersaing di Liga Juara Juara Eropah.”

“Kamu mampu menang atau kalah di dalamnya [persaingan], kerana itu persaingan yang sangat sukar, tetapi anda harus terus bersaing,” jelasnya.

“Sekurang kurangnya bersaing sengit untuk itu dan bukannya berantakan seperti di Roma, Liverpool, Lisbon. Semua itu membuatkan saya berfikir tentang keputusan yang ingin saya lakukan,” kata Lionel Messi.

Hubungan retak dengan Bartomeu

Tidak dapat dinafikan hubungan retak dengan presiden kelab, Josep Maria Bartomeu adalah punca utama kepada kekecewaan Messi sehingga mahu meninggalkan Nou Camp.

“Saya sudah memberitahu pihak kelab, termasuk presiden bahawa saya mahu pergi. Saya memberitahu beliau perkara sama sepanjang tahun,” ujar Messi kepada Goal.

“Saya percaya kelab ini memerlukan ramai pemain muda dan baru. Saya bertanggapan masa saya di sini sudah pun berakhir.

“Saya menyesal kerana sentiasa berkata akan menamatkan karier di sini.

“Ia adalah tahun yang sukar. Saya sentiasa terbeban ketika latihan, dalam perlawanan, dan juga di bilik persalinan.

“Segalanya menjadi semakin sukar buat saya, dan kemudian tiba masanya untuk saya mencari perkara baru.”

“Saya sudah memberitahu presiden, dan presiden sentiasa berkata pada hujung musim saya boleh memutuskan untuk pergi atau terus kekal. Akhirnya beliau mungkir janji.”

“Perkara sebenarnya ialah tidak wujud sebarang projek jangka masa panjang di kelab ini,” tambah Messi kepada Goal.com

“Mereka berselindung dan menutup kelemahan dari masa ke semasa.”

Hubungan Messi dengan Bartomeu sudah lama rosak. Begitu juga hubungan Bartomeu dengan pemegang taruh yang lain. Ia pasti pemilihan jawatan Presiden yang panas pada Mac hadapan.

Sekurang-kurangnya salah satu masalah Messi akan selesai pada sekiranya Bartomeu diganti oleh calon lain yang lebih berkelayakkan pada Mac akan datang.

Rumusan

Sebagai seorang pemain yang mengabdikan hampir keseluruhan karier profesionalnya hanya di sebuah kelab, kami yakin Messi sudah tentu mahu dikenang dan diabadikan sebagai legenda terhebat yang pernah kelab Catalan itu saksikan.

Barcelona sememangnya terkenal dengan melahirkan bintang bola sepak bertaraf legenda. Namun harus diakui Messi berada di tahap berbeza, atau boleh kita letakkan setaraf dengan Johan Cyruff.

Messi tidak membenci Barcelona. Beliau boleh sahaja mengheret Barcelona ke mahkamah kerana pertikaian mengenai kontrak, namun tidak berbuat demikian.

Ini kerana semua pihak menyedari bahawa apa yang berlaku hanyalah kerana beliau tidak berkenan dengan bagaimana kelab ini diurus tadbir sehingga menjejaskan pasukan.

Sekiranya tempoh semusim ini berjalan dengan lancar, maka tidak mustahil Messi akan menandatangani kontrak baharu yang akan mengekalkan pemain itu di Nou Camp buat selama-lamanya.

Maka tamatlah kisah saga perpindahan terbesar yang pernah disaksikan oleh dunia bola sepak.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.