10 Perkara Mengenai Kai Havertz Yang Perlu Anda Tahu

Kai Havertz telah disahkan menyertai The Blues dengan yuran perpindahan bernilai £89 juta.

Bintang dari Bundesliga itu telah menyempurnakan ujian kesihatan beliau awal semalam dan akan segera untuk menyertai skuad kendalian Frank Lampard.

1. Dari Aachen ke Leverkusen

Havertz beraksi untuk kelab tempatan Alemannia Aachen sebelum menyertai Bayer Leberkusen pada 2010. Beliau berhijrah ke bandar Leverkusen pada usia 15 tahun.

Menurut Bundesliga.com, Havertz tinggal bersama pengacara hari perlawanan dan keluarganya yang bertugas di Stadium Leverkusen ketika baru tiba, sebelum berpindah ke kediaman lain bersama abangnya setahun kemudian.

2. Bakat dibangun oleh datuknya

Bagaimana Havertz mempunyai bakat dalam bola sepak? Pemain muda ini mendedahkan beliau terhutang budi kepada datuknya untuk semua itu.

“Bakat yang saya ada bukan kebetulan. Ayah saya bukan pemain berbakat. Datuk saya pula selalu bermain bola sepak dan selalu melempar bola kepada saya, untuk disepak kembali kepadanya,” ujar beliau dalam satu temuramah bersama Spox sebelum ini.

3. Pemenang dua anugerah Fritz Walter Medals

Havertz turut pernah memenangi dua anugerah Frizt Walter. Anugerah tersebut adalah hasil inisiatif Persatuan Bola Sepak Jerman untuk mengiktiraf pemain muda, dan mempunyai dua kategori.

Setiap kategori iaitu Bawah-17 dan Bawah-19 terdiri daripada pemenang pingat emas, perak dan gangsa. Havertz memenangi pingat perak untuk kategori Bawah-17 pada 2016, dan pingat emas untuk kategori Bawah-19 pada 2018.

4. Pemecah rekod

Havetz menjadi pemain termuda pernah tampil untuk Bayer Leverkusen di Bundesliga apabila melakukan debut pada usia 17 tahun 126 hari pada Oktober 2016. Pada April 2018, beliau tampil sebagai pemain termuda yang melakukan 50 penampilan Bundesliga pada usia 18 tahun 307 hari, untuk memecah rekod Timo Werner.

Havertz turut menjadi pemain termuda menjaringkan gol dari sepakan penalti pada usia 19 tahun 7 bulan dan 16 hari, untuk membantu pasukannya menewaskan Wolfsburg 3-0 pada Januari lalu.

5. Terlepas perlawanan kerana persekolahan

Pemain yang masih berada di usia remaja ini juga pernah terlepas beberapa perlawanan sepanjang musim 2017/18 – termasuk pusingan 16 pasukan terbaik menentang Atletico Madrid kerana persekolahan.

Masih berusia 16 tahun pada ketika itu, Havertz turut harus memberikan fokus kepada pelajarannya selain daripada bola sepak.

6. Minat Ozil

Havertz mengakui beliau melihat bintang Arsenal, Mesut Ozil sebagai ‘role model’ ketika membesar.

“Boleh dikatakan saya banyak meniru dia. Saya suka cara dia bermain,” kata Havertz ketika temubual bersama Sport1 satu ketika dahulu.

7. Disamakan dengan Ballack dan Kroos

Seperti mana-mana pemain muda lain yang sering disamakan dengan pemain atau bekas pemain bintang yang lain, Havertz juga tidak ketinggalan.

Di Jerman, Havertz sering kali disamakan dengan ramai pemain termasuk Mesut Özil, Michael Ballack, Toni Kroos dan Arturo Vidal.

8. Seorang ‘Alleskönner’

Havertz boleh menggunakan kedua-dua belah kaki kiri dan kanan dengan baik sekali. Mempunyai struktur fizikal yang agak besar, pemain ini juga bahaya dengan ancaman bola tinggi.

Secara teknikal beliau dilihat sangat bagus dan mampu beraksi di mana-mana posisi di midfield. Disebabkan versatility dan kualiti yang pelbagai, beliau digelar ‘Alleskonner” – yang membawa maksud pemain serba boleh.

9. Inspirasi kepada pemain senior

Penjaga gol Bayer Leverkusen Lukas Hradecky menyifatkan Havertz sebagai pemain muda paling berbakat beliau pernah lihat dan telah menjadi inspirasi kepada pemain yang lebih senior.

“Saya tidak pernah melihat pemain berbakat begitu sepanjang karier. Mereka [pemain senior] yang lain belajar dari dia, walaupun dia adalah pemain yang lebih muda. Dia menjadi rujukan di dalam pasukan,” kata Hradecky kepada Kicker.

10. Melangkau tahap usia

Havertz pernah beraksi untuk skuad Jerman Bawah-16, Bawah-17, dan Bawah-19, namun tidak pernah beraksi untuk skuad Bawah-21 Jerman.

Beliau telah dipanggil oleh Joachim Low untuk menyertai skuad senior Jerman dan debut antarabangsa beliau ialah pada 9 September 2018.

Penutup

Pada musim 2019/20 , Kai Havertz telah berjaya menjaringkan 18 gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan dari 45 perlawanan untuk Bayer Leverkusen.

Beliau dianggap antara bintang muda terbaik ketika ini dan merupakan salah seorang central attacking midfielder terbaik dunia.

Mampukah Kai Havertz membantu Chelsea mencabar kejuaraan pada musim akan datang?

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.