10 Pemain ‘Kelas Dunia’ Van Gaal Mahukan Di Man Utd Yang Tidak Ditunaikan

Louis van Gaal telah mendedahkan senarai 10 pemain berkelas dunia yang beliau cadangkan untuk dibawa ke Old Trafford ketika bergemar pengurus Manchester United.

Dari kalangan 10 pemain tersebut, tidak ada seorang pun daripada mereka yang didatangkan oleh pengurusan tertinggi kelab untuk pengurus dari Belanda itu.

Van Gaal tiba di Old Trafford pada 2014 sebagai pengganti David Moyes yang dipecat.

Masih memiliki sebahagian besar pemain dari skuad juara kendalian Sir Alex Ferguson sebelum itu, Van Gaal bagaimanapun berpendapat skuad United memerlukan rombakan.

Bercakap kepada FourFourTwo baru-baru ini, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Belanda itu menyenaraikan 10 pemain yang beliau usulkan untuk membentuk skuad yang baru.

“Saya mahukan Robert Lewandowski. Namun apabila ia menjadi sukar, saya memilih Gonzalo Higuain,” kata jurulatih berusia 69 tahun itu.

“Sebelum saya tiba, saya ada bercakap kepada pengurusan mengenai Neymar. Jika anda adalah Manchester United, anda harus berfikiran luas.

“Dia [Neymar] juga amat baik untuk menjual jersi (pemasaran), dan saya juga mahukan pemain sayap yang pantas. Untuk itu saya namakan Sadio Mane dan Riyad Mahrez.”

United menjadi kelab pertama yang dikaitkan dengan Mane pada 2015, setahun sebelum pemain itu menyertai projek yang dibangunkan oleh Jurgen Klopp di Liverpool.

Van Gaal turut menyasarkan beberapa pemain tengah impiannya. Mereka adalah Thomas Muller, N’Golo Kante dan James Milner – yang beraksi bersama seteru setempat Manchester City sebelum ke Liverpool.

“Thomas Muller berada di dalam senarai saya juga. Di tengah saya mahukan N’Golo Kante. Saya turut cuba mendapatkan James Milner yang agak berusia namun masih memainkan pelbagai peranan termasuk dari segi kepimpinan.

“Untuk bahagian pertahanan saya mahukan Sergio Ramos dan Mats Hummels, kerana pemain sedia ada tidak cukup bagus untuk memulakan gerakan dari bahagian bawah.”

Walaupun tidak diberikan 10 pemain tersebut, Manchester United tetap membelanjakan £150 juta di era Van Gaal.

Malah juara Liga Perdana Inggeris 20 kali itu turut memecahkan rekod perpindahan kelab apabila membawa masuk Angel di Maria daripada Real Madrid.

United menamatkan musim pertama era Van Gaal di tangga keempat, namun jatuh satu kedudukan pada musim berikutnya sehingga beliau dipecat walaupun menjuarai Piala FA pada 2016.

“Mereka adalah senarai utama yang saya mahukan, tetapi kami tidak membawa masuk mana-mana dari mereka. Saya tidak tahu mengapa, kerana sebagai pengurus saya tidak terlibat melakukan rundingan.

“Selepas saya pergi pemain seperti Mahrez dan Kante menyertai Manchester City dan Chelsea, dan United tidak mendapatkan mereka. Saya rasa itu sangat janggal.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.