“10 Minit Lepas Kami Warm-Up Baru Pemain Barca Muncul – Santai Sangat!”

Thomas Muller tidak pernah segan dalam menyampaikan apa yang beliau fikirkan. Kali ini mengenai sikap pemain Barcelona sebelum perlawanan separuh akhir UEFA Champions League tempoh hari yang berkesudahan dengan kemenangan 8-2 untuk Bayern Munich.

Menurut Muller, Bayern lebih bersedia untuk perlawanan tersebut, dan lebih bersemangat untuk memenangi perlawanan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada jurulatih,” kata Muller dalam satu program di Jerman.

“Tetapi ada satu contoh: Kami sudah memulakan sesi memanaskan badan selama 10 minit. Selepas itu barulah pemain Barcelona muncul untuk memanaskan badan.

“Mereka kelihatan santai sangat. Ia mungkin tidak membawa apa-apa makna.

“Perlawanan mungkin boleh berakhir dengan cara lain, tetapi kami membuktikan kami lebih dahagakan kejayaan dalam perlawanan tersebut.

Muller turut memberikan pandangan beliau mengenai Lionel Messi yang mahu berpindah dari Barcelona.

“Messi adalah salah seorang pemain terbaik di planet ini sejak 100 tahun yang lalu,” ujar beliau.

“Perubahan mungkin akan memberikan lebih banyak kebaikkan kepada dunia bola sepak… kecuali kepada penyokong Barca.

“Tidak ada orang yang kritikal mengenai perpindahan itu, tetapi pada masa yang sama saya tertanya-tanya apakah yang boleh ditawarkan [kepada Messi] oleh haluan baharu itu.”

Muller turut sempat bergurau mengenai usaha membawa Messi menyertai Bayern Munich.

“Ya, saya ada bercakap dengan beberapa Pengarah dan Eksekutif…. beberapa kali…. dan saya berpendapat tidak ada apa kami boleh lakukan mengenai perkara itu.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.